KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Pembiayaan awam kepada parti politik perlu diwujudkan bagi mengurangkan kebergantungan kepada penyumbang besar, selain meningkatkan ketelusan pendanaan politik, menurut Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).
Penolong Pengurus Penyelidikan, Unit Demokrasi dan Tadbir Urus IDEAS Muhammad Nur Syazwan Zainal Abidin berkata pihaknya turut mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Pendanaan Politik yang bebas bagi mengawal selia pendanaan politik dan memastikan pelaksanaannya dibuat secara adil serta telus.
“Pembiayaan awam sebenarnya sudah berlaku sekarang, cuma ia berlaku secara tidak sah, secara senyap dan hanya melibatkan parti yang mempunyai akses kepada pembiayaan itu.
“Persoalannya ialah sama ada kita mahu memastikan pembiayaan itu dilaksanakan dengan adil dan saksama mengikut formula berasaskan bukti,” katanya ketika membentangkan kertas bertajuk “Pengawalseliaan Wang Dalam Politik: Dapatan Penyelidikan IDEAS dan Cadangan Dasar” pada Konvensyen Pendanaan Politik 2026 di sini hari ini.
Muhammad Nur Syazwan berkata IDEAS mencadangkan peruntukan RM130 juta setahun bagi pembiayaan awam parti politik, yang boleh diagihkan berdasarkan peratusan undi yang diterima setiap parti dalam pilihan raya.
Beliau berkata jumlah itu hanya bersamaan kira-kira 0.05 peratus daripada Belanjawan Kerajaan Persekutuan.
Menurut Muhammad Nur Syazwan, Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik juga perlu memperuntukkan penubuhan Suruhanjaya Pendanaan Politik sebagai badan bebas yang bertanggungjawab kepada Parlimen untuk mengawal selia pendanaan politik serta menguruskan pengagihan pembiayaan awam.
“Hanya parti yang memperoleh sekurang-kurangnya dua peratus undi sah atau memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) layak menerima pembiayaan awam.
“Reformasi pendanaan politik itu perlu disokong dengan penambahbaikan Akta Kesalahan Pilihan Raya, termasuk menyemak semula had perbelanjaan kempen yang kini ditetapkan pada RM200,000 bagi pilihan raya Parlimen dan RM100,000 bagi pilihan raya negeri, yang disifatkan tidak lagi realistik,” katanya.
Bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam politik, IDEAS turut mencadangkan peruntukan RM10 juta sebagai insentif berdasarkan peratusan Ahli Parlimen dan ADUN wanita yang dipilih daripada sesebuah parti.
Dalam pada itu, Muhammad Nur Syazwan berkata pihaknya mencadangkan had sumbangan tahunan sebanyak RM50,000 bagi individu, RM100,000 bagi syarikat dan RM500,000 bagi kumpulan syarikat.
Beliau berkata kos politik di Malaysia semakin meningkat, antaranya disebabkan jangkaan pengundi terhadap wakil rakyat untuk memberikan sumbangan kewangan bagi urusan kemasyarakatan seperti majlis perkahwinan dan kematian, selain peningkatan kos kempen digital serta persaingan politik yang semakin sengit.
Menurut Muhammad Nur Syazwan, semua sumbangan politik juga perlu didedahkan kepada umum manakala sumbangan daripada kerajaan atau agensi kerajaan asing serta entiti tertentu yang mempunyai konflik kepentingan atau kontrak dengan kerajaan wajar dilarang.
-- BERNAMA