KUNAK, 8 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah akan membawa isu tuntutan bayaran 40 peratus hasil bersih negeri sebagai agenda utama Mesyuarat Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata mesyuarat yang dijadualkan berlangsung di Sabah itu juga bakal membincangkan pelbagai tuntutan dan isu di bawah MA63 yang masih belum diselesaikan.
"Dalam mesyuarat itu, kita akan bincangkan perkara-perkara yang menjadi tuntutan ataupun isu-isu yang masih perlu diselesaikan dalam Perjanjian MA63 kita," katanya kepada pemberita selepas melawat Kilang Pengekstrakan Phytonutrient milik Kunak Lipids Sdn Bhd di sini, hari ini.
Hajiji berkata Kerajaan Persekutuan pada dasarnya telah bersetuju dengan tuntutan bayaran 40 peratus berkenaan, namun beberapa masalah teknikal masih perlu diselesaikan menerusi saluran rayuan rasmi.
Beliau berkata semua isu MA63 yang masih tertangguh akan dibawa semula untuk pertimbangan dalam mesyuarat serta rundingan berkaitan.
Pada masa sama, Hajiji merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas komitmen Kerajaan Persekutuan kerana menyelesaikan sembilan perkara di bawah MA63 termasuk penurunan kuasa berkaitan kepada Sabah, menjadikan keseluruhan 13 perkara telah diselesaikan, setakat ini.
Sementara itu, beliau menyambut baik kemajuan projek Kilang Pengekstrakan Phytonutrient milik Kunak Lipids yang hampir siap dan dijangka memulakan pengeluaran vitamin E sebelum akhir tahun ini.
Beliau berkata projek perniagaan sampingan Kumpulan Sawit Kinabalu yang mengguna pakai bahan berasaskan sawit itu dipercayai yang pertama seumpamanya di Malaysia.
"Saya amat berbesar hati mendengar taklimat daripada Sawit Kinabalu dan syarikat kerjasamanya kerana kilang yang dibina untuk mengeluarkan vitamin E ini telah hampir selesai dan diharap dapat menambah hasil kedua-dua pihak," katanya.
Ketibaan Hajiji di kilang berkenaan disambut oleh Pengerusi Sawit Kinabalu Datuk Hazem Mubarak Musa dan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sawit Kinabalu Datuk Victor Ationg.
-- BERNAMA