KUANTAN, 8 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang menahan tiga lelaki di sebuah stesen minyak di Jalan Sungai Lembing, di sini semalam kerana disyaki menyalahgunakan fleet card.
KPDN menerusi kenyataan memaklumkan tangkapan itu dibuat oleh sepasukan penguat kuasa menerusi Ops Tiris 4.0 selepas mengesan pengisian minyak diesel secara berulang ke dalam beberapa tong jerry can yang ditempatkan di bahagian belakang sebuah pacuan empat roda.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiga individu berumur lingkungan 30 hingga 40-an yang berada di lokasi gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit sah berkaitan pembelian dan pemilikan barang kawalan itu.
"Siasatan awal turut mendapati pengisian minyak diesel berkenaan disyaki menggunakan fleet card yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat pengangkutan," menurut kenyataan itu.
Susulan itu, KPDN turut menyita kira-kira 200 liter cecair petroleum yang disyaki minyak diesel, 10 tong jerry can, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, satu fleet card dan dua resit pembelian minyak diesel dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan lebih RM80,000.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
KPDN memandang serius sebarang kegiatan penyelewengan dan ketirisan barang kawalan serta bersubsidi dengan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang.
-- BERNAMA