Am 08/09/2026 04:02 PM

MOSTI Fokus Pembangunan, Teknologi Beri Manfaat Rakyat Dalam Belanjawan 2027

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MOSTI Fokus Pembangunan, Teknologi Beri Manfaat Rakyat Dalam Belanjawan 2027
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang (dua, kiri) melawat reruai selepas merasmikan Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (ESTCON) Ke-9 2026 hari ini.

GEORGE TOWN, 8 Sept (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberi tumpuan kepada pembangunan dan penggunaan teknologi yang memberi manfaat untuk rakyat dalam permohonan peruntukan Belanjawan 2027.

Menterinya Datuk Chang Lih Kang berkata antara keutamaan MOSTI adalah memastikan penggunaan teknologi dapat diperluaskan ke kawasan pedalaman dan luar bandar, sekali gus membantu meningkatkan kesejahteraan serta memudahkan kehidupan rakyat.

"Kita lebih fokus kepada penggunaan teknologi yang boleh menyenangkan kehidupan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (ESTCON) Ke-9 2026 anjuran Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), di sini hari ini.

Belanjawan 2027 dijangka dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Okt ini.

Chang berkata permohonan peruntukan MOSTI untuk Belanjawan 2027 juga telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan, namun perinciannya hanya akan diumumkan selepas mendapat kelulusan.

Mengenai keperluan penggunaan teknologi sewaktu kejadian bencana, beliau berkata Malaysia sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang bencana termasuk menerusi penggunaan teknologi dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Chang berkata penggunaan teknologi amat penting dalam membantu pasukan penyelamat mengendalikan operasi bencana termasuk mengesan mangsa, mengenal pasti identiti serta memantau risiko bencana susulan.

"Pengalaman tragedi tanah runtuh Batang Kali (Selangor) sebelum ini menyaksikan pelbagai teknologi digunakan termasuk dron, teknologi angkasa dan analisis sampel asid deoksiribonukleik (DNA) bagi membantu usaha mencari mangsa selain memastikan keselamatan pasukan penyelamat daripada kemungkinan berlaku tanah runtuh susulan," katanya.

Beliau berkata teknologi angkasa turut dimanfaatkan bagi mengesan pergerakan atau perubahan kawasan yang berpotensi berlaku tanah runtuh kali kedua dan ketiga, sekali gus membantu pasukan SAR membuat penilaian risiko dengan lebih berkesan.

-- BERNAMA