KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah tahniah kepada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail atas kejayaan dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Johor Super Crown Polo Tournament (JSCPT) 2026.
Menerusi hantaran di Facebook malam ini, beliau berkata prestasi luar biasa, kepimpinan serta semangat juang Tunku Mahkota Ismail menyerlahkan keunggulan baginda sebagai jaguh sukan yang menjadi kebanggaan bukan sahaja rakyat Johor, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.
“Sembah tahniah kepada DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas kejayaan dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Johor Super Crown Polo Tournament 2026, sekali gus memimpin Royal Johor menjulang kejuaraan berprestij ini,” kata beliau.
Tunku Mahkota Ismail dinobatkan sebagai MVP JSCPT 2026 semalam selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan berprestij itu.
Pengiktirafan sebagai MVP menjadi kemuncak penampilan cemerlang Tunku Mahkota Ismail yang mengemudi Royal Johor menewaskan Temasek 10-7 pada aksi final, dengan baginda menyumbang enam daripada keseluruhan 10 gol pasukan.
Kejohanan berstatus 22-gol yang berlangsung dari 1 hingga 6 Sept itu, merupakan pertandingan polo dengan handikap tertinggi yang dianjurkan di Malaysia, setakat ini.
Penganjuran kejohanan itu digerakkan menerusi visi bersama Tunku Mahkota Ismail dan Polito Pieres, bagi meletakkan Johor sebagai antara destinasi utama dalam litar sukan polo antarabangsa.
-- BERNAMA