KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Skuad hoki wanita remaja negara memulakan kempen Piala Remaja Asia Wanita 2026 dengan langkah kiri apabila tewas 1-6 kepada China pada aksi pertama kumpulan elit di Hulunbuir, China hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Moqi Training Base itu, jaringan tunggal skuad Young Tigress diperoleh hasil sentuhan Nurain Atiqah Mohd Fauzi yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-48.
Pasukan tuan rumah pula membolosi gawang Malaysia sebanyak enam kali hasil jaringan padang menerusi Qi Chenchen pada minit ke-13, Nie Yushuo (ke-24), Feng Jiaxin (ke-38), Wei Qixiao (ke-45), Chen Jiani (ke-46) dan Wang Lihang (ke-50).
Ketua Jurulatih Young Tigress Nasihin Nubli Ibrahim ketika mengulas perlawanan itu berkata meskipun tewas, skuad negara tetap mempamerkan permainan yang baik apabila memperoleh satu gol ke atas China yang dianggap sebagai pasukan gergasi Asia.
“Dengan status China sebagai pasukan gergasi Asia dan antara pasukan terbaik dunia, pemain negara masih mampu menyesuaikan permainan dengan baik dengan menjaringkan satu gol,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia hari ini.
Young Tigress akan menghadapi aksi kedua berdepan India pada pukul 9 pagi, Ahad ini.
-- BERNAMA