GUA MUSANG, 4 Sept (Bernama) -- Sebanyak 1,500 kilogram beras diagihkan kepada 300 ketua isi rumah Orang Asli suku kaum Temiar di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Pasik di sini sebagai bantuan segera susulan gangguan gajah liar yang menjejaskan kehidupan penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata bantuan menerusi Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Nenggiri itu bertujuan meringankan beban penduduk yang banyak bergantung kepada hasil tanaman untuk keperluan harian.
Beliau berkata pada masa sama, penyelesaian jangka panjang perlu diberi perhatian memandangkan konflik berkenaan telah berlarutan lebih dua tahun dan semakin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
“Masalah konflik antara gajah dan manusia di RPS Pasik memerlukan penyelesaian yang lebih menyeluruh antara agensi berkaitan. Saya mengharapkan agensi terlibat termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk duduk semeja bagi membincangkan penyelesaian terbaik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd Azmawi berkata berdasarkan aduan terbaharu, bilangan gajah yang dikesan di kawasan itu meningkat daripada dua kepada empat ekor, sekali gus menyebabkan penduduk lebih bimbang terhadap keselamatan mereka.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan Wan Mohd Adib Wan Yusoh berkata pihaknya akan meneliti aduan berkenaan dan menjalankan siasatan sebelum mengambil tindakan sewajarnya.
“Saya menasihatkan orang awam supaya tidak menghampiri, mengejar atau melakukan provokasi terhadap gajah liar, sebaliknya memberi laluan dan memastikan jarak yang selamat sekiranya mahu merakam gambar,” katanya.
-- BERNAMA