Am 04/09/2026 10:37 PM

JPM Hal Ehwal Agama Junjung Titah Darurat Jerebu, Seru Laksana Solat Hajat

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
JPM Hal Ehwal Agama Junjung Titah Darurat Jerebu, Seru Laksana Solat Hajat
fb YB Senator Dr. Zulkifli Hasan

PUTRAJAYA, 4 Sept (Bernama) -- Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru pelaksanaan solat hajat di masjid serta surau di Wilayah Persekutuan bagi mendoakan kurniaan hujan yang bermanfaat serta perlindungan Allah SWT buat warga Serian, Sarawak susulan keadaan jerebu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata pihaknya menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas pengisytiharan darurat jerebu di Bahagian Serian susulan keadaan jerebu yang mencapai tahap pencemaran udara membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.

Selari dengan tuntutan Hifz al-Nafs (pemeliharaan nyawa) dan al-Taawun (saling membantu), JPM (Hal Ehwal Agama) menggesa seluruh agensi agama dan masyarakat agar menyokong penuh langkah mitigasi serta bantuan kebajikan bagi melindungi kesihatan penduduk yang terjejas. 

“Keadaan kritikal ini menuntut persaudaraan Islam dan nilai kemanusiaan diterjemahkan secara nyata menerusi penyampaian bantuan pantas serta pematuhan penuh terhadap arahan keselamatan pihak berkuasa.

“Semoga ujian ini memperkuat tawakal dan kesatuan kita, memandangkan setiap usaha menyelamatkan nyawa merupakan amanah agama yang amat mulia di sisi-Nya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim memperkenankan pengisytiharan darurat di seluruh Bahagian Serian berikutan keadaan jerebu yang telah mencapai tahap pencemaran udara yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan keputusan dibuat selepas mengambil kira nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta agensi berkaitan mengenai tahap kualiti udara di kawasan berkenaan.

Setakat 4 petang tadi, kualiti udara di Serian masih berada pada tahap bahaya apabila stesen pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serian merekodkan bacaan IPU mencecah 514.

Menurut laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia, Kuching juga berada pada tahap bahaya dengan bacaan 313, manakala kawasan Samarahan dan Sri Aman pada tahap sangat tidak sihat, masing-masing dengan bacaan 288 dan 239.

-- BERNAMA