KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Bekas juara dunia skuasy Datuk Nicol Ann David dan MERCY Malaysia merupakan antara penerima Anugerah Merdeka 2026 bagi mengiktiraf sumbangan luar biasa mereka kepada negara dan rakyat.
Nicol menerima anugerah itu bagi Sumbangan Luar Biasa kepada Kemanusiaan, Seni dan Sukan manakala MERCY Malaysia diangkat sebagai penerima bagi Sumbangan Luar Biasa kepada Pendidikan dan Komuniti dengan Presiden Prof Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus menerimanya bagi pihak organisasi.
Antara penerima lain ialah tokoh linguistik negara Prof Emeritus Datuk Asmah Omar (Sumbangan Luar Biasa kepada Pencapaian Ilmiah dan Akademik); pakar pemuliharaan penyu Prof Dr Chan Eng Heng (Sumbangan Luar Biasa kepada Alam Sekitar dan Kesihatan Planet); juara Paralimpik dua kali dan jaguh badminton Cheah Liek Hou pula menerima Anugerah Harapan Merdeka.
Tiga ahli akademik turut diiktiraf ialah Prof Emeritus Datin Paduka Datuk Dr Aini Ideris dan Prof Emerita Datuk Dr Asma Ismail, kedua-duanya bagi Sumbangan Luar Biasa kepada Sains, Teknologi dan Inovasi, manakala Prof Emeritus Tan Sri Dr Omar Abdul Rahman pula menerima Anugerah Khas Merdeka atas sumbangan sepanjang hayat beliau dalam memajukan sains, teknologi dan inovasi di Malaysia.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, yang juga Penaung Diraja dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka berkenan menyampaikan anugerah berprestij itu.
Ketika berucap pada majlis pengumuman dan penyampaian anugerah itu, Nicol menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai antara detik paling membanggakan dalam hidupnya, dan bukan sahaja sebagai penghormatan terhadap pencapaiannya dalam sukan malah juga peranannya dalam meletakkan Malaysia di pentas dunia.
“Saya mungkin telah memenangi pelbagai gelaran profesional, Kejohanan Dunia dan anugerah sukan sepanjang karier saya, namun tiada yang dapat menandingi detik ini. Ini kerana anugerah ini membawa makna yang jauh lebih besar daripada kerjaya sukan saya.
“Anugerah ini melambangkan khidmat kepada negara yang telah memberi saya peluang untuk bermimpi, mengejar impian dan membentuk diri saya seperti hari ini. Saya berharap dapat memberikan inspirasi kepada generasi seterusnya untuk percaya mereka juga boleh bermimpi melangkaui perkara yang mereka sangka mampu dicapai,” katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan, Dr Ahmad Faizal berkata anugerah itu bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian MERCY Malaysia sepanjang 27 tahun lepas malah juga semangat khidmat bakti secara kolektif yang dibuktikan ribuan rakyat Malaysia.
Beliau berkata pengiktirafan itu mengukuhkan iltizam organisasi untuk terus memperkukuh kepimpinan kemanusiaan, meneguhkan daya tahan dan memperkasakan komuniti susulan cabaran kemanusiaan yang semakin kompleks, termasuk kecemasan iklim, konflik dan ancaman kesihatan awam.
Dalam kenyataan yang sama, MERCY Malaysia menjelaskan sejak penubuhannya pada 1999, organisasi itu telah melaksanakan lebih 500 misi kemanusiaan di 35 negara, termasuk Malaysia, bagi membantu komuniti yang terjejas akibat bencana, konflik, kecemasan kesihatan dan perpindahan.
Menurut organisasi itu, usaha berkenaan merangkumi bantuan perubatan kecemasan dan tindak balas bencana, pengukuhan sistem penjagaan kesihatan, sokongan kesihatan mental, pengurangan risiko bencana, pendidikan kemanusiaan serta pemerkasaan komuniti.
“Bagi MERCY Malaysia, pengiktirafan ini bukan milik organisasi semata-mata, sebaliknya anugerah ini adalah penghargaan kepada ribuan sukarelawan, kakitangan, petugas kemanusiaan, penderma, rakan kerjasama dan penyokong yang telah menyumbangkan masa, kepakaran dan sumber dalam khidmat kemanusiaan sepanjang lebih dua dekad lepas,
“Lebih utama, pengiktirafan ini didedikasikan kepada komuniti yang telah meletakkan kepercayaan kepada MERCY Malaysia ketika melalui antara detik paling mencabar dalam kehidupan mereka,” menurut MERCY Malaysia.
Penerima anugerah tahun ini telah dipilih hasil daripada pencarian meluas di Malaysia dan pada peringkat antarabangsa, merangkumi individu dan organisasi yang dinilai berdasarkan keistimewaan dan impak mampan daripada sumbangan mereka.
-- BERNAMA