Am 04/09/2026 09:17 PM

Pembukaan Sekretariat AFPPD Di Kuala Lumpur Perkasa Agenda Kependudukan, Pembangunan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pembukaan Sekretariat AFPPD Di Kuala Lumpur Perkasa Agenda Kependudukan, Pembangunan
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul bersama Pengerusi Forum Ahli Parlimen Negara Asia mengenai Populasi dan Pembangunan (AFPPD) Yoko Kamikawa (tengah) dan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah (kanan) menyempurnakan gimik perasmian Rumah Sekretariat AFPPD di sini hari ini. Turut kelihatan, Presiden AFPPD Malaysia Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (dua, kiri).

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Pembukaan pejabat sekretariat Forum Ahli Parlimen Asia mengenai Kependudukan dan Pembangunan (AFPPD) di sini hari ini mewujudkan hab serantau bagi mempercepat tindakan parlimen terhadap isu-isu pembangunan di seluruh Asia Pasifik.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul berkata pejabat berkenaan yang dipindahkan dari Tokyo, Jepun, mencerminkan komitmen teguh Malaysia dalam mempertingkatkan kerjasama antara parlimen bagi menangani cabaran sosioekonomi yang dihadapi bersama-sama di rantau ini.

“Sekretariat ini ditempatkan di sini (Kuala Lumpur) kerana ia memperlihatkan betapa pentingnya peranan organisasi ini. Kami boleh sahaja menempatkan pejabat ini di lokasi lain namun keputusan Parlimen mengundang organisasi itu untuk menubuhkan sekretariatnya di sini menunjukkan betapa seriusnya kami terhadap peranannya.

“Kami menjangkakan sekretariat ini akan menangani pelbagai isu dan masalah yang belum diselesaikan dan saya percaya banyak daripada inisiatif sudah pun dalam perancangan. Sehubungan dengan itu, Sekretariat ini wajar diberikan penghormatan dan bantuan sedaya upaya yang kita mampu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat berkenaan di Rumah Kerajaan Parlimen Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, Pengerusi AFPPD Yoko Kamikawa, Presiden AFPPD Malaysia Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Setiausaha Agung AFPPD Global Howard Lee Chuan How serta Pengarah Eksekutif AFPPD Dr Farrukh Usmonov.

Johari berkata sekretariat itu akan menjadi platform strategik bagi memperkukuh inisiatif parlimen serantau, khususnya dalam menangai isu penuaan penduduk, kesaksamaan gender serta kebajikan kanak-kanak.

“Kami berharap lebih banyak aktiviti dapat dilaksanakan secara aktif di rantau ini dan di peringkat Parlimen. Saya dan Yang Dipertua Dewan Negara pastinya bersedia memberikan bantuan sedaya upaya yang kami mampu,” katanya.

Sementara itu, Nanta yang juga Menteri Kerja Raya berkata penubuhan Sekretariat Global AFPPD di Malaysia akan membuka ruang kepada negara ini untuk terlibat secara lebih langsung dalam perancangan dan pelaksanaan program berkaitan isu kependudukan serta pembangunan.

“Kami amat berbesar hati kerana diberi kesempatan untuk merasmikan pembukaan pejabat Sekretariat AFPPD Global yang kini beroperasi di Kuala Lumpur. Ini satu detik amat bersejarah buat kami kerana Malaysia diberi penghormatan menjadi tuan rumah kepada Sekretariat AFPPD Global, yang sebelum ini di Tokyo, dan kini dipindahkan ke Malaysia.

“Pembukaan ini (beroperasi di Kuala Lumpur) membolehkan kami menyusun pelbagai program, bukan sahaja di Malaysia, malah yang lebih penting, di negara anggota AFPPD yang merangkumi lebih daripada 30 negara,” katanya.

Lee yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur pula berkata pejabat terbabit dibangunkan dengan kos keseluruhan RM958,930 termasuk sumbangan RM168,000 daripada AFPPD bermula pada 15 Julai 2025 sebelum siap sepenuhnya pada 10 Jan lepas.

-- BERNAMA