Dunia 04/09/2026 10:54 PM

Malaysia Dapat Kebenaran Nepal, Hantar Pasukan SMART

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia Dapat Kebenaran Nepal, Hantar Pasukan SMART
(AP Photo/Rajesh Kumar Singh)

PUTRAJAYA, 4 Sept (Bernama) -- Malaysia akan menghantar Pasukan  Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Nepal seawal 5 Sept ini, susulan kelulusan rasmi daripada Kerajaan Nepal bagi membantu operasi mencari dan menyelamat di kawasan terjejas akibat banjir dan tanah runtuh baru-baru ini.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan bahawa pasukan 11 anggota itu akan dilengkapi dron berkeupayaan tinggi serta peralatan khusus bagi menyokong operasi yang diketuai pihak berkuasa Nepal di kawasan yang memerlukan kepakaran teknikal dan keupayaan operasi khas.

"Penghantaran pasukan itu tertakluk kepada keperluan operasi dan tahap keselamatan," menurut kenyataan itu.

Kementerian itu turut memaklumkan bahawa seramai 55 rakyat Malaysia masih dilaporkan gagal dihubungi setakat 4 Sept.

Pasukan tambahan yang dikerahkan oleh kementerian berkenaan juga telah tiba di Kathmandu dan sedang membantu Kedutaan Besar Malaysia dalam menyelaraskan tindakan bersama pihak berkuasa Nepal berhubung usaha mencari serta mengenal pasti rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi.

"Ini termasuk penyelarasan penggunaan sampel DNA bagi tujuan pengecaman. Di Malaysia, persediaan berkaitan pengecaman sedang berjalan, merangkumi pengumpulan dan analisis sampel DNA daripada waris terdekat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kimia Malaysia, dengan kerjasama kementerian," menurut kenyataan itu.

Ia berkata kementerian kekal berhubung secara langsung dengan keluarga dan terus menyalurkan maklumat terkini seiring dengan perkembangan usaha pencarian, pengesahan serta tindakan berkaitan.

"Maklumat berhubung kes individu terus disampaikan secara terus kepada keluarga, manakala perkembangan untuk makluman awam kekal tertumpu kepada maklumat sah yang boleh dikongsikan secara lebih luas," katanya.

Kementerian itu memaklumkan pihaknya terus mengusahakan pengesahan menerusi saluran diplomatik dengan Kerajaan China berhubung kemungkinan pertindihan laporan membabitkan rakyat Malaysia di Nepal dan Wilayah Xizang, China.

Menurutnya, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing kekal berhubung dengan pihak berkuasa China, manakala kementerian juga berurusan dengan Kedutaan China di Kuala Lumpur bagi mendapatkan penjelasan rasmi.

"Malaysia turut menyampaikan kesediaan untuk menyediakan kepakaran mencari dan menyelamat yang bersesuaian sekiranya bantuan sedemikian diperlukan oleh pihak berkuasa China," menurut kenyataan itu.

Secara berasingan, kementerian memaklumkan kerajaan juga akan menyumbang bantuan kemanusiaan berjumlah US$1 juta kepada Nepal, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pihaknya turut menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau berkongsi maklumat yang belum disahkan semasa usaha bagi memastikan keselamatan serta mengesan keberadaan rakyat Malaysia terbabit masih berjalan.

Perkembangan lanjut akan dimaklumkan berdasarkan maklumat disahkan yang diterima menerusi saluran rasmi.

-- BERNAMA