Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi pada Jumaat, menjejaki harga minyak kacang soya yang lebih kukuh.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata pasaran turut disokong oleh kebimbangan berterusan terhadap pengeluaran jangka sederhana di tengah-tengah keadaan cuaca El-Niño yang sedang menjejaskan Malaysia dan Indonesia.
“Kami melihat harga disokong melebihi paras RM4,900 satu tan dengan rintangan pada RM5,050 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup, kontrak September 2026 turun RM27 kepada RM4,608 satu tan, Oktober 2026 meningkat RM7 kepada RM4,775 satu tan dan November 2026 naik RM25 kepada RM4, 929 satu tan.
Disember 2026 mengukuh sebanyak RM36 kepada RM5,054 satu tan, Januari 2027 menokok RM48 kepada RM5,155 satu tan dan Februari 2027 meningkat RM58 kepada RM5,227 satu tan.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 116,950 lot berbanding 137,648 lot yang dicatatkan semalam, manakala kepentingan terbuka susut kepada 334,025 kontrak daripada 338,419 kontrak.
Harga MSM fizikal bagi Selatan September adalah RM20 lebih rendah pada RM4,650 satu tan.
-- BERNAMA