Daripada Nik Nurfaqih Nik Wil
JAKARTA, 4 Sept (Bernama) -- Indonesia mempergiat usaha memadamkan kebakaran hutan dan tanah gambut di seluruh Kalimantan susulan jerebu yang semakin buruk, jarak penglihatan terhad serta keadaan awan yang tidak sesuai telah menjejaskan operasi pemadaman dari udara.
Indeks Standard Pencemaran Udara (ISPU) di stesen Jekan Raya di Palangka Raya, Kalimantan Tengah, melonjak kepada 3,540 pada 3.59 petang Jumaat, jauh melebihi ambang tahap berbahaya iaitu 300.
Bacaan tahap berbahaya turut direkodkan di lokasi lain di Kalimantan, termasuk Pontianak Tenggara (737), Gunung Mas (591), Katingan (484), Kotawaringin Timur (458) dan Murung Raya (423).
Pegawai Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Berton Panjaitan berkata ramalan Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) menunjukkan kepekatan bahan pencemar tertinggi tertumpu di Kalimantan Barat, Tengah dan Selatan pada Jumaat.
"Bagaimanapun, jika kita lihat Kalimantan Utara, khususnya di bahagian utara yang bersempadan dengan Malaysia, kita dapat melihat munculnya kawasan baharu," katanya dalam sidang media dalam talian harian pada Jumaat.
Dalam situasi itu, usaha pemadaman kebakaran diteruskan melalui operasi darat, pengeboman air dan operasi pengubahsuaian cuaca (OMC), walaupun keadaan buruk telah mengganggu usaha pemadaman dari udara di beberapa wilayah.
Berton berkata pihak berkuasa di Kalimantan Selatan telah mengerahkan dron terma untuk mengesan kebakaran di bawah permukaan tanah serta menyuntik bahan surfaktan ke dalam tanah gambut bagi mengekalkan kelembapan, susulan kegagalan melaksanakan OMC kerana keadaan awan tidak sesuai.
Di Kalimantan Barat, di mana jarak penglihatan merosot di bawah satu kilometer, dua helikopter telah menggugurkan 352,000 liter air manakala dua pesawat menabur 1,800 kilogram (kg) garam semasa operasi pembenihan awan (OMC), katanya.
Jarak penglihatan yang rendah turut menghentikan rondaan udara dan operasi pengeboman air di Kalimantan Tengah namun satu penerbangan OMC berjaya menabur 800 kg garam.
Bagaimanapun keadaan awan yang tidak sesuai menghalang operasi serupa di Jambi.
Berton berkata 263 titik panas dikesan pada Khamis di enam wilayah yang menjadi keutamaan bagi kawalan kebakaran hutan dan tanah iaitu 70 di Kalimantan Tengah, Kalimantan Barat (61), Kalimantan Selatan (56), Riau (30), Sumatera Selatan (26) dan 20 di Jambi.
Sementara itu, pihak polis Indonesia memaklumkan 112 suspek dikenal pasti berhubung 167 kes kebakaran hutan dan tanah yang direkodkan di seluruh negara dari 1 Jan hingga 3 Sept, dengan aktiviti pembersihan tanah dikenal pasti sebagai motif utama kebakaran.
Pengarah Jenayah Khas Badan Siasatan Jenayah Polis Negara (Bareskrim) Brigedier Jeneral Mohammad Irhamni berkata siasatan turut mendapati sesetengah kebakaran dimulakan secara sengaja, manakala yang lain berpunca daripada aktiviti yang melibatkan penggunaan api terbuka.
Riau mencatatkan jumlah tertinggi dengan 42 suspek, diikuti Sumatera Selatan dan Kalimantan Tengah dengan masing-masing 20 suspek, Kalimantan Timur (13), Jambi (lapan), Kalimantan Barat (tujuh) dan Kalimantan Selatan (dua).
"Terdapat 55 kes dalam proses siasatan awal dan 77 kes dalam proses siasatan jenayah," katanya dalam satu sidang media dalam talian pada Jumaat sambil menambah bahawa kes-kes lain berada pada pelbagai peringkat proses perundangan.
"Kesemua 167 laporan polis melibatkan individu dan tanah yang terlibat kebanyakannya ialah milik persendirian," katanya.
Apabila ditanya sama ada siasatan boleh diperluas untuk melibatkan syarikat, termasuk perniagaan kelapa sawit berskala besar, beliau berkata pihak polis akan meneliti dengan serius sebarang maklumat yang menunjukkan penglibatan korporat dan mengambil tindakan tegas sekiranya perlu.
-- BERNAMA