Am 04/09/2026 08:46 PM

Nilai MoU Maha Cecah RM9.3 Bilion, Atasi Sasaran Asal - Mohamad Sabu

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Nilai MoU Maha Cecah RM9.3 Bilion, Atasi Sasaran Asal - Mohamad Sabu
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu (tengah) bergambar bersama pemenang selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Program Realiti Agro Quest di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS). Turut sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Isham Ishak (empat, kanan). - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SERDANG, 4 Sept (Bernama) -- Nilai memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai bersempena dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) mencecah RM9.3 bilion, melebihi sasaran awal sebanyak RM8 bilion.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pencapaian itu selari dengan sambutan luar biasa orang ramai terhadap MAHA, dengan jumlah pengunjung setakat hari ketujuh mencecah 2.77 juta orang manakala nilai jualan melonjak kepada RM16.3 juta.

"Kita sasarkan RM8 bilion tetapi sehingga hari ini kita telah capai RM9.3 bilion. Pengunjung hingga hari ketujuh berjumlah 2.77 juta dan bilangan kenderaan lebih 555,000," katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Program Realiti Agro Quest di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Beliau berkata China kekal menjadi rakan dagang utama pertanian menerusi pembaharuan kerjasama sedia ada dan peningkatan import barangan agromakanan dengan MoU bernilai RM3.27 bilion.

Mohamad berkata pemeteraian MoU berkenaan adalah komitmen berterusan yang akan disusuli perjanjian perniagaan konkrit bagi memacu eksport sektor berkenaan, termasuk buah nanas dan aplikasi teknologi tinggi.

Antara kerjasama utama ialah MoU antara Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Guizhou Phosphate Chemical (GPC) Group dan Jiangsu Chemical Design Institute Co Ltd (CDIJS) bernilai RM1.5 bilion.

Dalam pada itu, Mohamad turut kagum melihat penglibatan generasi muda yang menjadikan bidang pertanian sebagai kerjaya pilihan menerusi aplikasi teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT).

"Anak-anak muda ini begitu bersemangat, berjaya dalam pertanian dan menggunakan teknologi baharu yang mengagumkan selain menjadikan kerjaya dalam bidang pertanian secara sepenuh masa," katanya.

Beliau turut menyeru penduduk di sekitar Lembah Klang untuk mengambil kesempatan melawat MAHA yang berakhir Ahad ini sekali gus mengambil kesempatan mendapatkan benih tanaman dan mempelajari teknologi terkini pemakanan tempatan.

-- BERNAMA