Am 04/09/2026 08:40 PM

Pembukaan Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan Di LPT2 Pacu Mobiliti Setempat

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pembukaan Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan Di LPT2 Pacu Mobiliti Setempat
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hadir merasmikan Projek Jalan KPC Port Link di Plaza Tol Pelabuhan Kuantan, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2). Laluan sepanjang 11.5 KM dibangunkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bagi menghubungkan Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) terus ke Pelabuhan Kuantan dan LPT2, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi serta kelancaran aliran logistik serantau. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) mula dibuka kepada pengguna hari ini yang dijangka mampu menjimatkan masa perjalanan sehingga 30 minit ke kawasan perindustrian Gebeng dan Pelabuhan Kuantan.

LPT2 Sdn Bhd dalam kenyataan memaklumkan persimpangan di KM264 yang terletak di antara Plaza Tol Jabor dan Plaza Tol Cheneh itu dibuka kepada pengguna lebuh raya bermula 6 pagi tadi turut menghubungkan LPT2 dengan Jalan Persekutuan FT3 Kuantan-Kemaman. 

"Bagi pengguna dari arah Terengganu atau Kuala Lumpur yang menghala ke Beserah, Balok, Gebeng, Cherating dan kawasan perindustrian sekitarnya, laluan menerusi Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan ini dijangka menjimatkan masa sehingga 30 minit.

"Laluan ini juga dijangka membantu menyuraikan trafik di jalan persekutuan serta mengurangkan pertembungan trafik jarak jauh dengan trafik tempatan di kawasan penempatan, sekolah, premis perniagaan dan kemudahan awam," menurut kenyataan itu.

Pengarah Eksekutif LPT2 Sdn Bhd merangkap Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata pembukaan persimpangan itu menyediakan akses lebih efisien ke kawasan strategik seperti Kuantan Port City dan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP).

Nik Airina berkata bagi penduduk setempat, persimpangan ini membuka ruang pertumbuhan ekonomi baharu dan merangsang aktiviti perniagaan tempatan, yang secara tidak langsung membantu mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan dalam sektor logistik, perindustrian dan perkhidmatan.

Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan yang dibangunkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur merupakan persimpangan bertingkat yang ke-11 di LPT2 dan plaza tol LPT2 yang pertama di Pahang.

Menurut kenyataan itu, persimpangan berkenaan adalah infrastruktur strategik yang akan menyokong pertumbuhan jangka panjang Pelabuhan Kuantan dan MCKIP dengan menyediakan akses lebih cekap kepada rangkaian LPT2.

"Berdasarkan dapatan Kajian Penilaian Impak Trafik (TIA), pelan pembangunan di sekitar Pelabuhan Kuantan dan MCKIP berpotensi menjana lebih 20,000 kenderaan sehari apabila direalisasikan sepenuhnya," menurut kenyataan itu. 

Kenyataan itu memaklumkan sebahagian besar daripada trafik berkenaan akan menggunakan rangkaian LPT2 melalui Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan, bergantung kepada tahap pembangunan serta aktiviti ekonomi pada masa hadapan.

Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan dilengkapi dengan plaza tol tujuh lorong, merangkumi tiga lorong masuk dan empat lorong keluar, selain kemudahan awam seperti tandas, surau serta kawasan meletak kenderaan demi keselesaan pengguna.

Majlis Pembukaan Rasmi Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan telah disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah semalam.

-- BERNAMA