Am 03/09/2026 04:53 PM

Pelatih PALAPES Harus Jadi Peneroka Ilmu, Idea Baharu Bantu Pemerkasaan Pertahanan Negara

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pelatih PALAPES Harus Jadi Peneroka Ilmu, Idea Baharu Bantu Pemerkasaan Pertahanan Negara
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin beramah mesra bersama Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) pada program Syarahan Eksekutif Menteri Pertahanan Bersama Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Universiti Awam di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Arau. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

ARAU, 3 Sept (Bernama) -- Pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) harus menjadi peneroka ilmu dan idea baharu yang boleh membantu pemerkasaan pertahanan negara selain berkongsi ilmu yang dipelajari di universiti.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amat memerlukan bakat mereka sebagai golongan yang bijak, berilmu dan mempunyai pelbagai kepakaran.

Beliau berkata dunia pertahanan hari ini memerlukan kompetensi dan keupayaan baharu yang bukan hanya dalam ketenteraan tetapi juga dalam pelbagai bidang.

“Antara bidang itu ialah kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin (ML), sains data dan kejuruteraan data, keselamatan siber, kejuruteraan perisian, autonomi dan robotik, teknologi dron dan sistem tanpa pemandu serta peperangan elektronik dan elektromagnetik.

“Selain itu, ia juga meliputi risikan isyarat, kriptografi dan enkripsi, teknologi dan kejuruteraan aeroangkasa, bioteknologi, perubatan pertahanan dan banyak lagi,” katanya pada program Syarahan Eksekutif Menteri Pertahanan bersama dengan Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini.

Hadir sama Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman.

Mohamed Khaled berkata semua bidang itu kini menjadi semakin kritikal dalam membentuk keupayaan pertahanan moden dan akan menjadi antara tunjang pembangunan angkatan masa hadapan.

Beliau berkata hampir semua bidang ilmu yang sebelum ini dianggap tidak berkaitan dengan pertahanan kini perlu dimuatkan elemen pertahanan dalam silibus mereka.

“Jadi, jangan lihat ilmu dipelajari di universiti sebagai sesuatu yang terpisah daripada pertahanan negara. Apa sahaja perkembangan dalam disiplin ilmu boleh menjadi asas dan pemangkin kepada penerokaan strategi pertahanan baharu. 

“Semua itu bukan lagi trend terpencil. Sebaliknya sudah seakan menjadi satu rukun strategik dalam memastikan keamanan dan kedaulatan sesebuah negara,” katanya.

Pada program itu, Mohamed Khaled turut menyaksikan majlis menandatangani Nota Kerjasama antara Tentera Darat (TDM) dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) antara Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Kapten (Kehormat) Datuk Profesor Dr Azlinda Azman.

-- BERNAMA