Am 03/09/2026 06:19 PM

LIAM Lancar Kempen Derma Darah Seluruh Negara Ke-10, Tingkatkan Kesedaran Kesihatan Komuniti

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
LIAM Lancar Kempen Derma Darah Seluruh Negara Ke-10, Tingkatkan Kesedaran Kesihatan Komuniti
Pengarah Jabatan Konsumer dan Amalan Pasaran Bank Negara Malaysia, Lau Chin Ching menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Kempen Derma Darah Seluruh Negara dan Kempen Kesedaran Kesihatan anjuran Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM). Turut kelihatan, (dari kiri) Presiden Persatuan Penasihat Insurans Hayat dan Takaful Keluarga Malaysia (NAMLIFA) Robin Woh, Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) Pauline Teoh, Pengarah Pusat Darah Negara Dr. Nor Nazahah Binti Mahmud, Ketua Pegawai Eksekutif LIAM Mark O"Dell dan Timbalan Pengarah, Bahagian Infrastruktur Komersil, Majlis Amanah Rakyat (MARA) Azar Hairussani Mohd Lud. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) sedang menganjurkan kempen derma darah dan kesedaran kesihatan seluruh negara selama tiga bulan dari 1 Sept hingga 30 Nov, menandakan tahun kesepuluh berturut-turut perkhidmatan komunitinya.

Dianjurkan dengan kerjasama Pusat Darah Negara (PDN), Persatuan Penasihat Insurans Hayat dan Takaful Keluarga Malaysia (NAMLIFA), serta 16 syarikat ahlinya, inisiatif itu bermula dengan acara kesedaran kesihatan awam selama tiga hari di Medan MARA di sini, yang berlangsung bermula semalam hingga esok.

Presiden LIAM Pauline Teoh berkata inisiatif itu, melangkaui sekadar menggalakkan pendermaan darah, malah berfungsi sebagai peringatan kepada rakyat Malaysia untuk memikul tanggungjawab peribadi terhadap kesihatan dan kesejahteraan mereka.

“Sumbangan anda mungkin hanya mengambil sedikit masa, tetapi bagi seseorang yang memerlukan, ia boleh membawa perbezaan yang amat besar. Pendermaan darah walaupun sekali boleh menjadi tindakan ihsan yang ringkas tetapi membantu menyelamatkan nyawa,” katanya dalam ucapan pada pelancaran kempen itu di Medan Mara, di sini hari ini.

Kempen itu dilancarkan secara rasmi hari ini oleh Pengarah Jabatan Konsumer dan Amalan Pasaran Bank Negara Malaysia Lau Chin Ching, bersama-sama Presiden LIAM Pauline Teoh, Pengarah PDN Dr Nor Nazahah Mahmud, Presiden NAMLIFA Robin Woh dan Timbalan Pengarah Bahagian Infrastruktur Komersial MARA Azar Hairussani Mohd Lud.

Teoh berkata penjagaan kesihatan pencegahan tidak memerlukan perubahan gaya hidup yang drastik, sebaliknya amalan harian yang ringkas dan konsisten seperti pemakanan seimbang, kekal aktif secara fizikal, mendapat rehat yang secukupnya, mengurus tekanan dan melakukan saringan kesihatan secara berkala.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, LIAM juga telah menubuhkan kaunter khusus SEMAK KASIH di Medan MARA, untuk membantu orang ramai memeriksa sama ada ahli keluarga yang telah meninggal dunia ada meninggalkan manfaat polisi insurans hayat atau takaful keluarga yang tidak dituntut.

“SEMAK KASIH merupakan satu platform tunggal dan dipercayai, yang dibangunkan bersama-sama oleh LIAM dan Persatuan Takaful Malaysia, untuk membantu keluarga berhubung semula dengan manfaat insurans hayat dan takaful yang ditinggalkan oleh orang tersayang.

“Saya menggalakkan semua orang untuk mengambil peluang ini mengunjungi kaunter tersebut dan memeriksa, sama ada orang tersayang yang telah meninggal dunia mungkin ada meninggalkan sebarang manfaat insurans hayat atau takaful keluarga yang tidak dituntut dengan syarikat insurans dan pengendali takaful yang mengambil bahagian,” katanya.

Beliau turut menggalakkan rakyat Malaysia untuk menerapkan tiga prinsip teras daripada kempen tersebut, iaitu mengutamakan kesihatan peribadi, kekal maklum mengenai kesejahteraan dan menjaga antara satu sama lain.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LIAM Mark O'Dell berkata kempen tersebut telah berkembang menjadi satu usaha komuniti yang berterusan, melalui komitmen jitu syarikat ahli, rakan penjagaan kesihatan, dan sukarelawan.

“Kempen ini sebenarnya mengenai sesuatu yang jauh lebih besar berbanding satu acara tunggal. Ia mengenai penyatuan masyarakat berkisar kepada mesej yang ringkas tetapi penting, iaitu menjaga kesihatan kita dan menyokong satu sama lain harus menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita.

“Setiap beg darah yang didermakan hari ini mewakili lebih daripada sekadar darah. Ia melambangkan harapan, peluang kedua dan kemungkinan bagi seseorang untuk kembali ke pangkuan orang yang paling bermakna buat mereka,” katanya.

Sepanjang acara tiga hari di Medan MARA itu, para pengunjung boleh mengakses perkhidmatan kesihatan secara percuma, termasuk saringan kesihatan, penilaian postur dan ceramah pendidikan kesihatan yang dihoskan oleh rakan penjagaan kesihatan LIAM, termasuk Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Yayasan ROSE, Kumpulan Penjagaan Kesihatan KPJ, Medic Physio Empire Sdn Bhd dan Hospital Pakar SALAM Shah Alam.

Orang ramai boleh mendapatkan butiran lanjut mengenai kempen derma darah di seluruh negara, tarikh, dan lokasi dengan melayari www.liam.org.my.

-- BERNAMA