ISKANDAR PUTERI, 3 Sept (Bernama) -- Iskandar Investment Berhad (IIB) dan rakan korporatnya berjaya mengumpul RM130,000 bagi menyokong pembangunan lebih 1,000 atlet di negeri ini menerusi sumbangan kepada Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ).
Dalam satu kenyataan hari ini, IIB memaklumkan sumbangan itu dikumpulkan menerusi kejohanan IIB20 Golf Invitational 2026 yang diadakan di Forest City Golf Resort di sini, pada 15 Ogos lepas bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-20 IIB yang bertemakan 20 Years of Impact.
Menurut kenyataan itu, sumbangan berkenaan disampaikan secara rasmi kepada MSNJ semalam menerusi majlis penyerahan cek cura yang disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Hairi Mad Shah serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB Datuk Idzham Mohd Hashim.
“Inisiatif ini diperkukuh dengan sokongan Kerajaan Negeri Johor, mencerminkan komitmen bersama-sama dalam memperkasakan bakat tempatan serta menyumbang kepada aspirasi sukan Johor yang lebih luas,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Idzham berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen IIB untuk memastikan manfaat pertumbuhan syarikat bukan sahaja dalam bidang pelaburan dan pembangunan, tetapi turut dinikmati masyarakat.
“Peranan kami bukan sekadar membangunkan projek dan menarik pelaburan. Kami juga berusaha memastikan kemajuan yang ada diterjemahkan kepada peluang serta manfaat nyata kepada masyarakat.
“Kami turut menghargai sokongan rakan korporat dalam memperluas jangkauan inisiatif ini dan menyokong bakat sukan Johor. Ia menunjukkan hasil yang mampu dicapai apabila kita berganding bahu demi matlamat bersama,” katanya.
Sejak 2024, IIB telah menyumbang kira-kira RM3.5 juta melalui zakat, penajaan dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menyokong pelbagai program dan memanfaatkan lebih 90,000 individu dan komuniti di seluruh Johor.
Sementara itu, Pengarah MSNJ Hasnul Atmam Othman berkata kerjasama antara sektor awam dan swasta memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem pembangunan sukan Johor.
"Pembangunan atlet memerlukan sokongan dan kerjasama berterusan semua pihak. Sumbangan ini akan menyokong program pembangunan sukan dan penyediaan peralatan kepada Persatuan Sukan Negeri Johor, sekali gus membantu meningkatkan keupayaan dan prestasi atlet di bawah MSNJ," katanya.
-- BERNAMA