Ekonomi 03/09/2026 06:43 PM

Terbitan Sukuk RM11.5 Bilion Beri Kelebihan Aliran Tunai Kepada Tabung Haji - Nurhisham

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Terbitan Sukuk RM11.5 Bilion Beri Kelebihan Aliran Tunai Kepada Tabung Haji - Nurhisham
Pengarah Kanan Ekonomi dan Kewangan, Pejabat Perdana Menteri Nurhisham Hussein (kiri) bercakap ketika Sesi Dialog Ummah bertemakan Muhasabah dan Masa Depan di Tenera Hotel & Suite, Bangi. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) - Terbitan sukuk bernilai RM11.5 bilion oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) bukanlah satu bentuk penyelamatan baharu untuk Lembaga Tabung Haji (TH) sebaliknya merupakan proses pembiayaan semula yang memberikan kelebihan aliran tunai berterusan kepada institusi berkenaan.

Pengarah Kanan Ekonomi dan Kewangan di Pejabat Perdana Menteri Nurhisham Hussein berkata terbitan sukuk baharu tu adalah untuk menggantikan sukuk terdahulu yang diterbitkan UJSB, syarikat tujuan khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan (MOF). 

"Sukuk yang asal diterbitkan oleh UJSB itu adalah zero coupon. Zero coupon maknanya dia tak memberi keuntungan kepada TH tiap-tiap tahun.

"Setelah (sukuk) itu tamat, digantikan dengan sukuk baharu, tapi sukuk ini ada aspek keuntungan tiap-tiap tahun. Jadi ada juga manfaat kepada TH yang ada aliran tunai tiap-tiap tahun," katanya.

Beliau  berkata demikian ketika menjadi panel dalam sesi  “Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji” anjuran Himpunan Gerakan Islam Malaysia, di sini, hari ini.

Mengenai profil risiko terbitan tersebut, Nurhisham menegaskan potensi risiko kewangan terbitan sukuk berkenaan ditanggung kerajaan dan bukannya oleh TH atau para pendepositnya.

Beliau berkata keupayaan sukuk tersebut sebahagian besarnya bergantung kepada nilai sedia ada aset-aset yang diletakkan di bawah pengurusan UJSB.

"Sekiranya UJSB tidak dapat merealisasikan nilai sepenuhnya daripada aset berkenaan, ia kekal menjadi tanggungan kerajaan," katanya.

Mengenai keupayaan kerajaan untuk menampung liabiliti berkenaan, Nurhisham memberi jaminan bahawa Malaysia mempunyai rekod pembayaran hutang yang sangat kukuh dan tidak pernah gagal memenuhi sebarang obligasi kewangannya.

"Kita bukan Argentina, kita bukan Greece. Kerajaan Malaysia tidak pernah tidak menepati janji dari segi obligasi kewangan. Kita tetap bayar dan perkara ini tidak perlu dirisaukan," tegasnya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan implikasi tersebut perlu dilihat dalam konteks pengurusan liabiliti kerajaan yang lebih luas, termasuk pelbagai komitmen kewangan berikutan peninggalan isu terdahulu serta perbelanjaan mendesak sewaktu krisis pandemik COVID-19.

"Kita kena lihat konteks yang lebih menyeluruh. Selain TH, kerajaan juga menguruskan tanggungan lain seperti isu Felda dan FGV yang melibatkan kira-kira RM10 bilion, bon 1MDB yang masih perlu dijelaskan, serta komitmen Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) yang bernilai berbilion ringgit.

"Malah, perbelanjaan mendepani COVID-19 seperti pembelian vaksin sahaja sudah mencecah RM30 bilion. Oleh itu, kerajaan kini melaksanakan pelbagai langkah disiplin kewangan untuk mengurangkan defisit secara bertahap dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang," katanya.

Mengenai peranan UJSB, Nurhisham menyamakan syarikat tujuan khas itu seperti model Danaharta Nasional Bhd  yang ditubuhkan untuk mengambil alih dan memulihkan aset bermasalah. 

Beliau berkata terdapat persamaan corak tadbir urus silam antara isu TH dan FGV, terutamanya melibatkan pembelian aset pada harga yang terlalu tinggi tanpa kecukupan pegangan sekuriti serta kelemahan proses uji tuntas.

"Untuk aset ekuiti yang telah merosot nilainya bagi tempoh yang lama, ia sememangnya sukar untuk pulih sepenuhnya.

"Oleh itu, bagi UJSB, strategi yang perlu diambil adalah melupuskan atau menyerap susut nilai aset tersebut secara bertahap seumpama pendekatan pelupusan kerugian pertukaran wang asing Bank Negara Malaysia suatu ketika dahulu.

"Ia memerlukan masa dan bergantung kepada keupayaan kewangan kerajaan, namun dari segi hala tuju, tindakan yang diambil oleh UJSB ketika ini adalah langkah yang perlu dilaksanakan," katanya.

-- BERNAMA