KOTA TINGGI, 3 Sept (Bernama) -- Seorang daripada tiga remaja yang masih hilang ketika mandi di Pantai Tanjung Lompat, Kota Tinggi semalam, ditemukan pada 1.53 tengah hari tadi.
Pegawai Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Tanjung Sedili Leftenan Komander Mohamed Shafiee Bakar berkata Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor, 16, ditemukan terapung kira-kira 800 meter dari lokasi penemuan mangsa pertama Alif Taqiuddin Kamal Hasrul semalam.
“Mayat dibawa ke pesisir pantai pada 2.50 petang dan pengecaman keluarga mengesahkan identiti mangsa,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.
Mohamed Shafiee berkata mayat dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.
Sementara itu, beliau berkata usaha mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Adib Hafiy Kamal dan Mohamad Haiman Fitri Supian yang masing-masing berusia 16 tahun sedang giat dijalankan melibatkan radius pencarian seluas tujuh batu nautika dari barat laut pantai tersebut.
Semalam, empat remaja dilaporkan hilang di pantai itu sebelum Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi DSP Mohd Syamsuri Mohamad mengesahkan penemuan mayat Alif Taqiuddin pada jarak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.
Bomba menerima panggilan kecemasan kejadian lemas melibatkan enam remaja pada 8.19 pagi, namun dua daripadanya berjaya diselamatkan orang awam. Mereka dikatakan sebahagian daripada kumpulan 15 orang yang berkhemah di situ dari dua hari lepas.
Sementara itu, ahli keluarga mangsa mengadakan solat hajat itu sebagai ikhtiar membantu operasi SAR yang masuk hari kedua hari ini yang turut melibatkan pelajar tahfiz Madrasatul Quran Ar-Redha, Taman Desaru Utama, selain turut melaungkan azan di pesisir pantai itu.
Segelintir ahli keluarga mangsa juga dilihat tidak dapat menahan sebak semasa mengaminkan doa.
Abang Muhammad Adib Hafiy, Muhammad Azril Haziq Kamal, 23, dari Felda Simpang Waha di sini berharap remaja itu dapat ditemukan segera.
“Sudah lebih sehari adik hilang, kami sekeluarga reda dan keluarga berharap adik dapat dijumpai tidak kira apa juga keadaan,” katanya.
-- BERNAMA