Am 03/09/2026 07:04 PM

Kerusi UNESCO Letak UM, Malaysia Sebagai Pusat Kajian Manuskrip Serantau

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kerusi UNESCO Letak UM, Malaysia Sebagai Pusat Kajian Manuskrip Serantau
Kredit : FB International Relations Centre - Universiti Malaya

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Universiti Malaya (UM) bakal memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab serantau bagi penyelidikan warisan manuskrip dan kerjasama kebudayaan susulan pelantikannya sebagai Kerusi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Budaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengenai Warisan Manuskrip Laluan Sutera.

Dalam kenyataan hari ini, UM memaklumkan pelantikan Dr. Mehdi Soltanzadeh sebagai Pemegang Kerusi UNESCO akan mewujudkan platform serantau bagi penyelidikan, pengajaran, latihan dan penglibatan komuniti dalam warisan manuskrip, selain memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang berkenaan.

Pelantikan itu turut menempatkan UM dalam Program UNITWIN/Kerusi UNESCO, iaitu rangkaian global yang menghimpunkan lebih 1,100 Kerusi UNESCO dan rangkaian universiti dari lebih 130 negara, yang bertujuan memajukan penyelidikan, pendidikan dan kerjasama antarabangsa.

“Melalui inisiatif ini, UM akan berperanan sebagai pusat penyelarasan serantau Malaysia bagi usaha memelihara, mendokumentasi, mendigitalkan dan mempromosikan manuskrip yang berkaitan dengan Laluan Sutera, selain manuskrip yang mencerminkan pertukaran intelektual antara Alam Melayu dengan tamadun lain.

“Ini akan menyokong pembangunan repositori digital manuskrip, penetapan standard dokumentasi dan metadata, penyelarasan kerjasama penyelidikan serta menyediakan latihan pascasiswazah dalam bidang kajian manuskrip,” menurut kenyataan itu.

UM berkata inisiatif itu turut membolehkan tinjauan lapangan dijalankan di perpustakaan, muzium, arkib dan koleksi terpilih, selain menyediakan platform bagi bengkel, seminar, persidangan antarabangsa, pertukaran akademik serta penerbitan bersama dengan rakan kerjasama di seluruh dunia.

Kerusi UNESCO itu juga akan menghubungkan UM dengan rangkaian antara disiplin UNESCO yang menghimpunkan lebih 10,000 ahli akademik dan penyelidik, sekali gus memperluas penglibatan antarabangsa universiti berkenaan serta menggalakkan prinsip sains terbuka dan perkongsian ilmu.

“Dengan mengintegrasikan pemeliharaan warisan budaya dengan inovasi digital, Kerusi UNESCO mengenai Warisan Manuskrip Laluan Sutera akan meletakkan Universiti Malaya dan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan serantau dalam bidang kajian manuskrip dan kerjasama kebudayaan berkaitan UNESCO,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA