Ekonomi 03/09/2026 07:18 PM

Ekonomi Malaysia Dijangka Tumbuh Lima Peratus Pada 2026 - Akmal Nasrullah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Ekonomi Malaysia Dijangka Tumbuh Lima Peratus Pada 2026 - Akmal Nasrullah

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Kerajaan yakin pertumbuhan ekonomi Malaysia akan berada pada kira-kira lima peratus pada 2026 berdasarkan momentum pertumbuhan ekonomi semasa yang kukuh, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata kerajaan menyasarkan pertumbuhan antara empat dan lima peratus bagi tahun ini dan berdasarkan keadaan semasa, ekonomi dijangka berkembang pada paras tertinggi julat itu.

“Dengan keadaan semasa, kita yakin bahawa pertumbuhan akan berada pada sekitar lima peratus,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Oil & Gas Asia (OGA) 2026 di sini hari ini.

Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia hari ini mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus, konsisten dengan prospek kestabilan harga yang berterusan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

OPR berada pada 2.75 peratus buat kali kelapan berturut-turut sejak Julai 2025.

Beliau berkata antara sektor yang memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi kebelakangan ini ialah sektor elektrik dan elektronik (E&E), termasuk industri semikonduktor, yang dijangka terus berkembang.

“Berdasarkan pengamatan, industri ini dijangka terus menyumbang kepada pertumbuhan, termasuk sektor pembuatan dan sebagainya,” katanya.

Akmal Nasrullah berkata prestasi ekonomi negara perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira pertumbuhan yang kukuh dan kadar inflasi yang kekal terkawal.

Beliau berkata ekonomi mencatatkan pertumbuhan kira-kira enam peratus pada suku tahun sebelumnya manakala kadar inflasi dicatatkan pada 1.8 peratus pada Julai.

Menurutnya, perkembangan itu memberikan kestabilan dari sudut monetari manakala langkah fiskal kerajaan turut menyediakan ruang untuk memastikan kos sara hidup kekal pada tahap sederhana.

“Pada masa yang sama, di peringkat kerajaan, sudah pastinya dari segi fiskal, pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri baru-baru ini juga akan terus memberi ruang kepada kita untuk mengekalkan kos sara hidup pada kadar yang sederhana,” katanya.

Beliau berkata kerangka seterusnya adalah menerusi Belanjawan 2027 yang dijadualkan dibentangkan pada Oktober ini.

Akmal Nasrullah berkata pertumbuhan ekonomi yang dicatatkan juga perlu dinilai berdasarkan sejauh mana manfaatnya dapat dirasai masyarakat secara keseluruhan.

“Pertumbuhan yang dinikmati ini juga perlu dinilai bagaimana kesannya kepada masyarakat secara umum dan bagaimana ia membolehkan kerajaan terus memberi sokongan dan ruang kepada rakyat untuk berdepan dengan kos sara hidup,” katanya.

Akmal Nasrullah merupakan ahli panel di forum bertajuk ‘The Future is Here – Going Beyond Borders’, bersama Presiden Persatuan Gas Malaysia Abang Yusuf Abang Puteh, Pengerusi Negara Shell Malaysia dan Naib Presiden Kanan bagi Perniagaan Huluan Malaysia Siti Hurrairah Sulaiman serta Pengarah Urusan Hibiscus Petroleum Bhd Datuk Dr Kenneth Gerard Pereira.

Terdahulu, pada sesi panel, Akmal Nasrullah berkata Malaysia perlu menginstitusikan dasar dan komitmennya untuk memastikan kesinambungan, terutamanya bagi pelaburan dengan tempoh 20 hingga 30 tahun, yang melangkaui kitaran politik dan kepimpinan.

Beliau berkata tumpuan perlu diberikan kepada mewujudkan hala tuju negara yang jelas dan melaksanakan komitmen sedia ada berbanding memperkenalkan idea baharu semata-mata untuk berbuat demikian.

“Keberkesanan bukan mengenai memperkenalkan idea baharu. Sebaliknya, ia adalah mengenai pelaksanaan idea tersebut dan memastikan hasil yang diinginkan dapat dicapai,” katanya.

Akmal Nasrullah berkata kerajaan juga perlu memastikan dasar diinstitusikan, termasuk pada peringkat perundangan seperti komitmennya terhadap kecekapan tenaga serta teknologi pemerangkapan dan penyimpanan karbon.

Mengenai tenaga nuklear, katanya langkah yang sama juga perlu diambil untuk menginstitusikan proses tersebut, termasuk memastikan komitmen dasar mendapat sokongan pada peringkat perundangan.

“Pengajaran daripada situasi politik sebelum ini ialah ia tidak boleh hanya bersifat retorik atau sebagai satu komitmen, sebaliknya proses itu perlu benar-benar diinstitusikan,” katanya.

Pada masa yang sama, Akmal Nasrullah berkata dasar dan rangka kerja mungkin perlu diselaraskan apabila keadaan pasaran dan teknologi berkembang.

Beliau berkata sebarang perubahan sedemikian perlu dibuat secara telus dan berdasarkan bukti, selain mengambil kira maklum balas daripada industri.

“Ketidaktentuan sememangnya menjadi mimpi ngeri bagi mana-mana industri,” katanya, sambil menambah bahawa kredibiliti akhirnya akan dibina melalui tindakan dan pelaksanaan.

-- BERNAMA