Am 03/09/2026 05:57 PM

JWN Kaji Kubu Mat Kilau Diwarta Sebagai Tapak Warisan Negara

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
JWN Kaji Kubu Mat Kilau Diwarta Sebagai Tapak Warisan Negara
Peserta bergotong-royong membersihkan tapak Kubu Mat Kilau di Padang Jerangau, Kampung Pasir Raja. Lebih 100 peserta daripada beberapa jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk setempat menyertai program berkenaan. Tapak Kubu Mat Kilau disenaraikan dalam inventori Jabatan Warisan Negara (JWN) sebagai lokasi yang berpotensi untuk diwartakan sebagai tapak warisan. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

DUNGUN, 3 Sept (Bernama) -- Tapak Kubu Mat Kilau di Padang Jerangau dekat Kampung Pasir Raja di sini telah disenaraikan dalam inventori Jabatan Warisan Negara (JWN) sebagai lokasi berpotensi untuk diwartakan sebagai tapak warisan negara.

Ketua Pengarah JWN Mohamad Muda Bahadin berkata pihaknya akan menjalankan kajian lanjut bagi menilai potensi tapak berkenaan ke arah pewartaannya sebagai tapak warisan, termasuk dari aspek nilai sejarah perjuangan Mat Kilau.

Beliau berkata kajian penilaian itu dijangka tidak mengambil masa terlalu lama namun pihaknya perlu merujuk kepada pelbagai pihak berkepentingan termasuk persatuan sejarah bagi mendapatkan maklumat berkaitan tulisan, penceritaan serta sejarah tapak berkenaan untuk melengkapkan dokumen penilaian.

“Maklumat ini penting bagi melengkapkan dokumen yang diperlukan untuk tujuan penilaian dan kajian pewartaan tapak berkenaan.

"Dalam usaha merealisasikan pewartaan tapak berkenaan sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645), ia juga memerlukan pengesyoran dan akhirnya keizinan daripada kerajaan negeri," katanya kepada Bernama selepas Majlis Penutup Program Jejak Warisan Merdeka dan Gotong-Royong Kubu Mat Kilau di Kampung Pasir Raja di sini hari ini.

Kubu Mat Kilau yang dibina daripada timbunan tanah berukuran 14.6 meter lebar dan 17.2 meter panjang terletak berhampiran sempadan Pahang.

Mohamad Muda berkata tapak kubu berkenaan turut berpotensi dibangunkan sebagai produk pelancongan sekiranya dilengkapi kemudahan termasuk jalan raya, laluan pejalan kaki dan tempat letak kenderaan.

Bagaimanapun beliau berkata memandangkan tapak tersebut belum diwartakan sebagai tapak warisan, JWN belum dapat menggunakan peruntukan kumpulan wang berkaitan bagi membiayai pembangunan di lokasi itu.

Terdahulu, lebih 100 peserta daripada beberapa jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk setempat menyertai program gotong-royong itu.

Mat Kilau atau nama sebenarnya Muhammad Khatib Rasu Abd Salam ialah tokoh sejarah dan pahlawan Pahang yang menentang penjajahan British.

Beliau meninggal dunia pada 16 Ogos 1970 pada usia 104 tahun dan disifatkan sebagai seorang yang berpengetahuan luas dalam bidang agama selain pernah berguru dengan beberapa tokoh serta ulama tersohor termasuk Sayyid Abdul Rahman Sayyid Muhammad Al-Idrus atau lebih dikenali sebagai Tokku Paloh serta Haji Abdul Rahman Limbong, ketika bersembunyi di Terengganu.

-- BERNAMA