Am 03/09/2026 05:48 PM

Ikan Mati Di Sungai Sitiawan: JAS Perak Tunggu Analisis Jabatan Kimia - Exco

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Ikan Mati Di Sungai Sitiawan: JAS Perak Tunggu Analisis Jabatan Kimia - Exco
kredit: awam

IPOH, 3 Sept (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak sedang menunggu keputusan analisis Jabatan Kimia Malaysia bagi menentukan punca kejadian ikan mati di Sungai Sitiawan dekat Manjung pada 30 Ogos lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim berkata JAS Perak memaklumkan menerima laporan mengenai kejadian itu pada 9.57 pagi, sebelum menjalankan siasatan di tiga lokasi iaitu Pelantar Wak Dol, penginapan D’ Chalet dan Tanjung Uda River Resort.

“Hasil pemeriksaan mendapati ikan serta hidupan laut lain mati dan timbul di permukaan air di ketiga-tiga lokasi berkenaan. Ikan mati yang ditemukan di Pelantar Wak Dol kebanyakannya bersaiz kecil, manakala ikan mati di kawasan D’ Chalet pula bersaiz besar.

“Data parameter air direkodkan di tiga lokasi menunjukkan bacaan iaitu Pelantar Wak Dol pada 32 darjah Celsius, oksigen terlarut (DO) 5.86 miligram seliter (mg/L) dan pH 7.59, D’ Chalet (31.7 darjah Celsius, DO 3.79 mg/L, pH 7.69) dan Tanjung Uda River Resort (31.4 darjah Celsius, DO 1.59 mg/L, pH 7.62). Semua persampelan dijalankan bagi mendapatkan analisis lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Teh berkata JAS Perak turut menjalankan pemeriksaan penguatkuasaan di sebuah premis kilang dan mengambil sampel efluen industri di takat pelepasan akhir premis bagi tujuan padanan dengan sampel air sungai.

Beliau berkata pemeriksaan di premis berkenaan mendapati berlaku kerosakan pada injap penghembus di loji rawatan kumbahan (STP) menyebabkan sampel efluen kumbahan tidak dapat diambil untuk dianalisis berikutan kadar aliran sangat rendah, iaitu 0.583 meter padu sejam (m³/jam).

Teh berkata tindakan perundangan akan ditentukan selepas menerima hasil analisis sampel air sungai dan efluen industri daripada pihak berkenaan.

“JAS akan meneruskan pemantauan dan pemeriksaan penguatkuasaan ke atas premis-premis berhampiran yang berpotensi mencemarkan sungai tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) Hawa Wahid berkata insiden pencemaran di sungai itu dipercayai berpunca daripada tindakan sebuah kilang di Kampung Acheh, Sitiawan yang melepaskan sisa tercemar ke dalam sungai.

Pencemaran sungai itu dikesan orang awam di Kampung Sitiawan dan kawasan sekitar apabila bangkai ikan ditemukan ketika air surut kira-kira 11 pagi.

-- BERNAMA