Am 02/09/2026 10:25 PM

Malaysia Jamin Satu Tempat Di Suku Akhir Beregu Lelaki China Masters

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia Jamin Satu Tempat Di Suku Akhir Beregu Lelaki China Masters
K. Letshanaa

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Perseorangan wanita kebangsaan K. Letshanaa bakal berdepan tugas getir menentang pilihan kedua dari China, Wang Zhi Yi pada pusingan kedua selepas mara dengan mudah dalam aksi pembukaan Kejohanan China Masters 2026 di sini hari ini.

Letshanaa hanya memerlukan 16 minit untuk menewaskan pemain England, Karen Yun Qiao Feng, 21-6, 21-3 di Shenzhen Arena, sekali gus menempah pertemuan sukar dengan pemain pilihan tuan rumah itu dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 750 berkenaan.

Dalam acara beregu lelaki, Malaysia sudah pasti mempunyai wakil ke suku akhir selepas gandingan Chia Weijie-Teo Ee Yi dan Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong diundi bertemu sesama sendiri pada pusingan kedua.

Weijie-Ee Yi bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menundukkan pasangan Jepun, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi, 16-21, 21-19, 22-20 dalam pertarungan sengit.

Nur Mohd Azriyn-Wee Kiong turut dipaksa beraksi dalam tiga set sebelum mengatasi gandingan baharu negara, Aaron Chia-Man Wei Chong, 14-21, 21-15, 21-19.

Bagaimanapun, kemaraan Wan Muhammad Arif Shahruddin Wan Junaidi Arif-Kang Khai Xing terhenti pada pusingan pertama selepas tewas 11-21, 16-21 kepada pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

-- BERNAMA