Ekonomi 03/09/2026 03:26 PM

Bakal Ke Pasaran ACE, Evocom Sasar Kumpul RM20.5 Juta Menerusi IPO

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bakal Ke Pasaran ACE, Evocom Sasar Kumpul RM20.5 Juta Menerusi IPO

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) – Evocom Bhd menyasarkan untuk mengumpulkan sebanyak RM20.5 juta daripada langkah tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 28 September 2026.

Pengarah Eksekutif merangkap Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Esther Loo Chee Hong berkata RM3 juta daripada hasil IPO itu akan diperuntukkan bagi tujuan membangunkan aplikasi teknologi.

“Sejumlah kira-kira RM7.2 juta akan dimanfaatkan sebagai modal kerja perkhidmatan pekerja fleksibel kami untuk menyokong pertumbuhan berterusan operasi sedia ada manakala RM3 juta untuk mengembangkan perniagaan penghantaran kargo udara syarikat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran prospektus syarikat itu di sini, hari ini.

Loo berkata sebanyak RM1.5 juta akan dimanfaatkan bagi pembangunan ibu pejabat syarikat di Nilai, Negeri Sembilan manakala RM1.34 juta diperuntukkan bagi modal kerja am dan baki RM4.46 juta bagi perbelanjaan penyenaraian.

Pada sidang media kemudiannya, beliau berkata penggunaan itu turut merangkumi penyepaduan aspek kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan lagi kecekapan penghantaran dengan pengoptimuman pengagihan bungkusan, perancangan laluan serta penggunaan tenaga kerja.

Sistem itu akan mengambil kira keadaan trafik dan cuaca, berat serta saiz bungkusan selain kapasiti setiap pekerja bagi menentukan kaedah penghantaran yang paling cekap.

“AI yang kami gunakan itu terutamanya memberi tumpuan utama kepada potensi tenaga kerja yang dimaksimumkan menerusi teknologi.

“Pada hari ini, kakitangan kami membuat penghantaran kira-kira 3,000 bungkusan sebulan. Menerusi tindakan mengoptimumkan jumlah kendalian mereka setiap bulan, mereka juga dapat meningkatkan lagi pendapatan,” katanya.

Loo berkata sistem itu akan turut membahagikan bungkusan mengikut kategori, mengunjurkan jumlah penghantaran pada masa depan selain menggabungkan bungkusan daripada pelbagai platform e-dagang dalam kawasan sama untuk meningkatkan lagi aspek kecekapan penghantaran.

Teknologi itu kini dalam peringkat pembangunan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan pelaksanaan sepenuhnya dijangka pada suku kedua tahun depan.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Evocom Bhd Ian Tan berkata cadangan pembangunan ibu pejabat di Nilai itu mempunyai keluasan lantai kira-kira 4,000 hingga 5,000 kaki persegi dan berperanan sebagai pusat memenuhi pesanan serta kemudahan pengurusan hab.

Kemudahan itu dijangka mengendalikan kira-kira 5,000 bungkusan sehari yang berpotensi menyumbang hasil kira-kira RM20,000 sehari, katanya.

Selain itu menurut prospektus, modal saham Evocom selepas penyenaraian itu akan merangkumi 455.63 juta saham yang menyuntik permodalan pasaran indikatif sebanyak RM82.01 juta berdasarkan harga IPO pada 18 sen sesaham.

Permohonan bagi IPO itu dibuka hari ini dan ditutup pada 14 September 2026.

NewParadigm Securities Sdn Bhd berperanan sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan tunggal bagi IPO berkenaan.

-- BERNAMA