Politik 03/09/2026 04:39 PM

Model Pendidikan UniMAP Bersama Lebih 300 Pemain Industri Jamin Graduan Kekal Relevan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Model Pendidikan UniMAP Bersama Lebih 300 Pemain Industri Jamin Graduan Kekal Relevan

Oleh Shuhaida Mohd Said

DA NANG, 3 Sept (Bernama) -- Kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan lebih 300 pemain industri membolehkan universiti itu membangunkan model pendidikan yang memastikan graduannya kekal relevan dengan perubahan dunia pekerjaan.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP bertitah jaringan itu adalah antara kekuatan strategik UniMAP dalam memperkukuh pendidikan berorientasikan industri, selain menyokong usaha universiti melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi perubahan teknologi yang pantas.

“Lebih daripada angka, hubungan itu memperlihatkan satu model pendidikan yang meletakkan industri bukan hanya sebagai destinasi akhir graduan tetapi sebagai rakan dalam membentuk perjalanan pendidikan mereka sejak di universiti,” titah baginda.

Tuanku bertitah demikian ketika mengetuai delegasi Mobiliti Kepimpinan Antarabangsa (ILM) UniMAP melawat Universiti Teknologi Maklumat dan Komunikasi Vietnam-Korea di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor 1 UniMAP, serta puteri-puteri baginda Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail merangkap Pro Canselor 2 UniMAP dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Ketibaan baginda serta delegasi UniMAP disambut oleh timbalan rektor universiti Ts Huynh Ngoc Tho dan Ketua Jabatan Sains, Teknologi dan Kerjasama Antarabangsa Dr Le Ha Nhu Thao.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah kerjasama yang melibatkan pelbagai sektor strategik, termasuk elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, bioperubatan, pemprosesan bahan dan makanan, automotif, mekanikal dan aeroangkasa, alam sekitar, infrastruktur serta media dan komersial itu mencerminkan hubungan rapat universiti berkenaan dengan keperluan sebenar industri.

“Antara pemain industri yang pernah disenaraikan dalam jaringan UniMAP ialah syarikat teknologi dan semikonduktor seperti Intel, Infineon, Micron, AT&S, Oppstar, Inari, SkyeChip, Analog Devices dan AMD, selain ViTrox, Modenas, Proton serta Turkish Aerospace Industries.

“Antara mekanisme yang digunakan termasuk Industry Advisory Panel (IAP), CEO@Faculty, pensyarah pelawat, Industry on Campus, latihan industri, projek bersama industri, penyelidikan kolaboratif serta Teaching Factory,” titah baginda.

Baginda bertitah pendekatan itu membolehkan perkembangan teknologi, kemahiran baharu dan perubahan kehendak pasaran pekerjaan dibawa terus ke dalam bilik kuliah serta persekitaran pembelajaran dan bukan hanya diperkenalkan kepada pelajar selepas tamat pengajian.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah model berkenaan juga membolehkan pelajar mendapat pendedahan lebih awal terhadap teknologi, proses kerja dan cabaran sebenar yang bakal mereka hadapi apabila memasuki alam pekerjaan.

Titah baginda lagi pada masa sama, penglibatan pemain industri dalam pembangunan kurikulum membantu memastikan kandungan akademik sentiasa mengambil kira perkembangan teknologi serta kemahiran yang diperlukan oleh sektor pekerjaan.

“Bagi universiti yang mempunyai kekuatan dalam bidang kejuruteraan, teknologi dan bidang teknikal, jaringan sedemikian menjadi semakin penting dalam memastikan jurang antara pembelajaran akademik dengan keperluan industri dapat terus dirapatkan.

“Kerjasama itu juga mewujudkan ekosistem dua hala apabila universiti bukan sahaja membekalkan bakat kepada industri, malah industri turut menyumbang kepakaran, teknologi, pengalaman dan perspektif dunia sebenar kepada universiti,” titah baginda.

Program ILM adalah satu inisiatif rangkaian antarabangsa dan akademik tahunan yang melibatkan delegasi UniMAP melawat universiti luar negara dan industri utama untuk memperkukuh pendidikan serantau, memperluas penyelidikan teknikal serta memupuk kepimpinan pelajar.

Turut mengiringi delegasi ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP Prof Ir Ts Dr Shahriman Abu Bakar.

-- BERNAMA