Am 03/09/2026 05:36 PM

Kempen Geng Bijak Tenaga Galak Rakyat Guna Elektrik Secara Cekap 

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kempen Geng Bijak Tenaga Galak Rakyat Guna Elektrik Secara Cekap 
kredit: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air

PUTRAJAYA, 3 Sept (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyokong usaha Tenaga Nasional Bhd (TNB) melaksanakan Kempen Geng Bijak Tenaga, iaitu inisiatif pendidikan awam untuk membantu rakyat memahami bil dan corak penggunaan elektrik, di samping menggalakkan amalan penggunaan tenaga yang lebih bijak serta cekap.

Melalui kempen itu, pelanggan domestik TNB yang layak digalakkan memantau dan mengekalkan penggunaan elektrik pada paras 600 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah bagi bulan Oktober serta November 2026, dan sasaran itu diharap dapat mendorong pelanggan lebih mengenali corak penggunaan elektrik di rumah serta mengenal pasti ruang untuk menggunakan tenaga dengan lebih cekap.

“Bagi menggalakkan penyertaan dan perubahan tabiat penggunaan tenaga, kempen itu menyediakan insentif keseluruhan bernilai RM200,000 kepada 2,000 pelanggan domestik yang memenuhi terma, syarat dan kriteria yang ditetapkan. Setiap pelanggan akan menerima PIN Tambah Nilai Touch ‘n Go bernilai RM100,” menurut PETRA dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas pelancaran kempen itu.

Terdahulu, kempen itu dilancarkan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad pada Sesi Perjumpaan Timbalan Menteri bersama Warga PETRA bagi Bulan September 2026 di sini hari ini.

Sementara itu, PETRA memaklumkan TNB akan menilai dan mengesahkan penggunaan elektrik peserta bagi Oktober dan November sebelum mengumumkan 2,000 penerima yang memenuhi kriteria kempen pada Disember ini.

Antara kriteria pemilihan ialah mengekalkan penggunaan elektrik pada paras 600 kWj dan ke bawah bagi dua bulan berturut-turut, mempunyai akaun TNB aktif sekurang-kurangnya 12 bulan serta mencatat peratusan pengurangan penggunaan elektrik tertinggi berdasarkan perbandingan antara purata penggunaan dalam tempoh kempen dengan purata penggunaan dua bulan sebelumnya.

PETRA memaklumkan kempen itu turut memberi penekanan kepada pendidikan melalui perkongsian dan peringatan mengenai tabiat penggunaan tenaga bagi membantu rakyat membina amalan yang lebih cekap dalam kehidupan seharian.

“Penggunaan tenaga secara bijak tidak bermaksud mengorbankan keselesaan, sebaliknya mengelakkan pembaziran dan menggunakan elektrik mengikut keperluan.

“Amalan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah menyumbang kepada penggunaan sumber tenaga negara secara lebih berhemat demi kesejahteraan bersama,” menurut PETRA.

PETRA memaklumkan kempen itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan kecekapan tenaga ketika negara turut berdepan cabaran krisis bekalan global yang memberi tekanan kepada kos tenaga.

Pendaftaran kempen dibuka mulai 10 Sept 2026 kepada pelanggan domestik TNB yang layak.

Maklumat lanjut mengenai syarat penyertaan dan pendaftaran boleh diperoleh menerusi laman web rasmi Geng Bijak Tenaga di www.gengbijaktenaga.my.

-- BERNAMA