Am 03/09/2026 04:35 PM

Festival Citra Mutiara 2026 Dijangka Tarik 10,000 Pengunjung

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Festival Citra Mutiara 2026 Dijangka Tarik 10,000 Pengunjung

GEORGE TOWN, 3 Sept (Bernama) -- Festival Citra Mutiara (FCM) 2026 yang akan berlangsung pada 11 hingga 13 Sept ini di Lebuh Armenian di sini, dijangka menarik kira-kira 10,000 pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata festival itu, merupakan penjenamaan semula Festival Balik Pulau yang dianjurkan sejak 2019, dengan mengetengahkan kepelbagaian keunikan seni, budaya dan warisan Pulau Pinang kepada masyarakat tempatan, pelancong domestik serta antarabangsa.

“Penganjuran Festival Citra Mutiara 2026 bukan sahaja mengetengahkan keunikan seni, budaya dan warisan Pulau Pinang, tetapi memperkukuh daya tarikan George Town sebagai destinasi pelancongan budaya.

“Acara itu turut menjadi sebahagian daripada usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama-sama Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memperkukuhkan sektor pelancongan budaya, selari dengan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media FCM 2026 di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pulau Pinang di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah JKKN Mohd Amran Mohd Haris.

Wong berkata antara pengisian festival ialah pertandingan boria kategori cilik dan terbuka, pertandingan mewarna keluarga, sepak raga ratus, kolam (rangoli), diabolo, Treasure Hunt-Eksplorasi Citra Mutiara serta peragaan busana boria kanak-kanak.

Beliau berkata selain itu Perarakan Budaya Citra Mutiara, dijangka menjadi antara tarikan utama FCM 2026 melibatkan 200 peserta daripada pelbagai kumpulan, dengan laluan sejauh 800 meter di sekitar Lebuh Armenian.

“Festival itu turut menampilkan Malam Kebudayaan Citra Mutiara, pameran agensi kerajaan dan swasta, demonstrasi makanan dan minuman warisan negeri serta sesi sembang santai ‘Boria Tak Pernah Mati’ bersama dengan Pengarah Akademi Boria Pulau Pinang Datuk Jibran Khalil Sindamadar,” katanya.

Wong berkata FCM 2026 turut memberi ruang kepada masyarakat, khususnya generasi muda, untuk mengenali serta menghargai seni, budaya dan warisan tempatan.

“Pelancong pada hari ini bukan sahaja mencari tempat untuk dilawati, tetapi turut ingin merasai pengalaman, mengenali budaya tempatan dan berinteraksi dengan komuniti setempat,” katanya.

Festival anjuran JKKN dengan sokongan Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu, berlangsung dari 10 pagi hingga 11 malam dan majlis penutupan pada 13 Sept dijangka dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib.

-- BERNAMA