KOTA TINGGI, 3 Sept (Bernama) -- Pantai Tanjung Lompat adalah kawasan yang tidak dibuka kepada orang awam bagi sebarang aktiviti riadah, termasuk mandi-manda dan berkelah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar Fauziah Misri mengeluarkan kenyataan itu berikutan kejadian lemas yang mengorbankan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun manakala tiga lagi rakan mangsa masih belum ditemukan setakat ini.
“Kawasan ini tidak diselenggara oleh mana-mana pihak dan tidak dibuka kepada orang awam. Ia lebih kepada aktiviti (nelayan tempatan) untuk menangkap ikan menggunakan bot,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sehubungan dengan itu, Fauziah berkata pihaknya akan berbincang dengan pihak berwajib untuk memasang papan tanda amaran bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
Beliau turut merayu kepada orang ramai supaya tidak menularkan gambar atau membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian melibatkan enam remaja lelaki berusia 16 tahun itu.
Menurut Fauziah, pihaknya juga akan memberikan bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa yang terlibat.
Semalam, seorang daripada remaja berkenaan ditemukan lemas pada 1.25 tengah hari, sementara tiga lagi masih hilang.
Dua lagi remaja berkenaan pula berjaya diselamatkan oleh orang awam.
Bomba memaklumkan menerima panggilan kecemasan pada 8.19 pagi berhubung kejadian itu, dengan mangsa adalah sebahagian daripada kumpulan 15 orang yang datang berkhemah di kawasan berkenaan sejak dua hari lepas.
Sektor pencarian bagi hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) diperluas sehingga dua batu nautika dari barat laut Pantai Tanjung Lompat, dibantu dua unit dron milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang berkemampuan untuk memantau sejauh 20 kilometer.
Fauziah pada masa sama turut menzahirkan rasa simpati atas insiden lemas yang mengorbankan dua beranak di tapak perkhemahan Punggai, kira-kira 22 kilometer dari lokasi pantai itu tiga hari lepas.
-- BERNAMA