Am 03/09/2026 03:20 PM

KPWKM Sedia Tawar Bantuan Psikososial Bagi Keluarga Mangsa Bencana Nepal

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KPWKM Sedia Tawar Bantuan Psikososial Bagi Keluarga Mangsa Bencana Nepal
Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Mastarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukry - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUTRAJAYA, 3 Sept (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia menawarkan bantuan dan sokongan psikososial kepada ahli keluarga rakyat Malaysia yang terkesan dengan banjir kilat dan tanah runtuh di Nepal jika diperlukan. 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata sebarang bantuan akan diselaraskan menerusi Kementerian Luar termasuk dalam mengenal pasti individu yang memerlukan sokongan dan bantuan lanjut.

“Kita akan dimaklumkan apabila mereka memerlukan bantuan dan insya-Allah kita bekerjasama dengan Kementerian Luar. Kita tidak boleh terus begitu sahaja. Kementerian terlibat akan membantu dan memaklumkan kita,” katanya.

Nancy berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan 80 Tahun Jabatan Kebajikan Masyarakat di sini hari ini yang dirasmikan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

Beliau menjelaskan sokongan psikososial sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) KPWKM semasa berlaku sesuatu bencana atau situasi yang memerlukan penempatan seperti di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Memang kita ada (menyediakan bantuan psikososial). Itu sudah menjadi SOP kita dan jika mereka memerlukan bantuan psikososial yang lebih intensif, kita akan menambah petugas kita,” katanya.

Sebanyak 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan bencana yang berlaku pada 26 Ogos manakala 77 lagi yang dikesan selamat di Tibet dan Nepal sudah dibawa ke Kathmandu untuk menjalani proses sebelum pulang ke Malaysia. 

Agensi Anadolu melaporkan angka korban akibat bencana itu meningkat kepada 1,220 orang manakala 4,762 orang termasuk 844 warga asing masih hilang.

-- BERNAMA