Am 03/09/2026 03:51 PM

MAHA 2026: BERNAS Pamer Teknologi Pintar “Remajakan” Tanaman Padi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MAHA 2026: BERNAS Pamer Teknologi Pintar “Remajakan” Tanaman Padi
SERDANG, 3 Sept - Pengurusan tanaman padi diperkasa menerusi teknologi sistem pengairan berkuasa solar yang boleh dikawal dari jarak jauh serta jentera penanam dan penuai padi pandu sendiri yang mula diperkenalkan kepada pesawah. Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) mengetengahkan dua teknologi pertanian pintar itu buat julung kali pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Laman Padi, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SERDANG, 3 Sept (Bernama) - Pengurusan tanaman padi kini semakin diperkasa menerusi penggunaan teknologi sistem pengairan berkuasa solar yang boleh dikawal dari jarak jauh serta jentera penanam dan penuaian padi berpandu automatik yang mula diperkenalkan kepada pesawah.

Ia diketengahkan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) menerusi dua teknologi pertanian pintar yang buat julung kalinya dipamerkan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Laman Padi, Taman Ekspo Pertanian Malaysia di sini.

Ketua Unit Mekanisasi, Jabatan Pengurusan Ladang BERNAS Ikwan Hakim Yaacob berkata pengenalan sistem pengurusan air pintar menggunakan pam solar mudah alih serta sistem pemanduan automatik itu adalah antara usaha BERNAS untuk “meremajakan” penanaman padi menerusi penggunaan teknologi.

Beliau berkata kedua-dua teknologi itu selari dengan penekanan MAHA 2026 terhadap penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), Internet benda (IoT) dan pertanian pintar dalam memperkukuh serta memodenkan sektor agromakanan negara.

“Pendekatan ini bertujuan membawa industri padi daripada kaedah konvensional kepada sistem yang lebih pintar, berasaskan data dan automasi, sekali gus membantu meningkatkan kecekapan kerja di sawah.

“Selain itu, apabila penggunaan teknologi diperluas dalam industri padi, ia diharap dapat menarik minat lebih ramai anak muda untuk menceburi bidang pertanian, di samping meningkatkan kesedaran pesawah terhadap perkembangan teknologi serta memperkasa kemahiran mereka dalam mengadaptasi dan memanfaatkan teknologi moden dalam operasi sawah,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sistem pengurusan air pintar itu adalah prototaip hasil kerjasama BERNAS dengan syarikat pertanian pintar Sperry Sdn Bhd, yang menggunakan cahaya matahari sebagai sumber tenaga untuk menggerakkan pam tanpa penggunaan petrol atau diesel.

Ikwan Hakim berkata sistem berkenaan turut dilengkapi sensor bagi mengesan paras air di sawah, selain membolehkan pesawah memantau dan mengawal operasi pam menerusi telefon pintar.

“Apabila paras air tidak mencukupi, pesawah boleh mengaktifkan pam untuk menyalurkan air ke sawah manakala lebihan air juga boleh dikeluarkan apabila diperlukan, dengan maklumat berkenaan sentiasa berada di hujung jari pesawah.

“Mereka boleh memantau keadaan dengan lebih mudah melalui aplikasi khusus, malah melaksanakan operasi pengurusan air dari jauh,” katanya.

Beliau berkata sistem itu direka secara modular dan mudah alih, membolehkan penggunaannya dikongsi oleh beberapa pesawah di kawasan sama, dengan sasaran kapasiti untuk membantu mengairi kira-kira dua hektar sawah sehari.

Ikwan Hakim berkata teknologi itu berpotensi mengurangkan kos operasi pesawah memandangkan pam konvensional lazimnya menggunakan petrol atau diesel, dengan perbelanjaan sekitar RM40 hingga RM60 sehari bagi operasi kira-kira enam jam.

Beliau bagaimanapun berkata BERNAS masih menjalankan analisis kos dan manfaat bagi menentukan reka bentuk serta kos terbaik sebelum teknologi itu diperkenalkan secara lebih meluas, dengan sasaran untuk dikongsi kepada pesawah di bawah Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) BERNAS menjelang akhir tahun ini atau awal 2027.

“Setakat ini, Program SMART SBB BERNAS melibatkan kira-kira 3,900 hektar menerusi sekitar 65 projek, dengan lebih 1,200 pesawah di seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Mengenai teknologi pemanduan automatik, beliau berkata teknologi hasil kerjasama dengan syarikat SCS Group dan Topcon Positioning Asia (Malaysia) Sdn Bhd itu dipamerkan pada jentera penanam dan penuai padi, yang membolehkan jentera bergerak secara automatik mengikut laluan ditetapkan menggunakan panduan satelit.

Beliau berkata walaupun jentera bergerak secara automatik, operator perlu berada di tempat duduk pemandu bagi memantau proses penanaman dan penuaian serta memastikan operasi berjalan dengan selamat. 

“Teknologi ini turut membantu mengurangkan pertindihan laluan ketika kerja penanaman dan penuaian, sekali gus mengoptimumkan penggunaan kawasan sawah serta mengurangkan keletihan operator,” katanya.

Selain itu, Ikwan Hakim berkata teknologi itu membolehkan data operasi seperti keluasan kawasan yang dikerjakan, tempoh pelaksanaan dan penggunaan bahan api direkodkan, sekali gus membantu pesawah membuat keputusan dengan lebih tepat.

Ikwan Hakim berkata BERNAS merancang untuk memulakan penggunaan sistem pemanduan automatik itu secara percubaan di beberapa kawasan projek SMART SBB di Selangor, Perak dan bahagian utara Semenanjung selepas penganjuran MAHA 2026.

Laman Padi BERNAS sempena MAHA 2026 mengetengahkan peranan BERNAS dalam pengurusan bekalan beras negara serta usaha memperkukuh ekosistem padi dan keterjaminan makanan negara.

Antara tarikan lain, pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif termasuk pengalaman sensori beras, demonstrasi penuaian padi serta ikrar awam yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keterjaminan makanan.

MAHA 2026 bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan” berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 Sept ini.

-- BERNAMA