PUTRAJAYA, 2 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka enam kertas siasatan baharu berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) serta anak syarikatnya, FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata siasatan itu susulan maklumat yang diterima pada 24 Ogos lepas berkaitan pelaksanaan projek dan pelaburan oleh pengurusan FELDA serta FIC antara 2010 dan 2020.
“Kita menerima maklumat pada 24 Ogos lepas dan menerusi Ops Fella, enam kertas siasatan yang dibuka itu melibatkan isu pembelian dan pelaburan aset oleh FELDA dan FIC yang disyaki mempunyai unsur penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Enam perkara berkenaan ialah pembelian Syarikat Tataran Aras Sdn Bhd di Limbang, Sarawak, pengambilalihan Grand Borneo Hotel Sdn Bhd di Sabah, pembelian Grand Plaza Service Apartments di London, penubuhan FELDA Wellness Corporation Sdn Bhd, pengambilalihan FELDA House dan Grand FELDA House serta dakwaan penyelewengan dalam pembangunan projek Kuala Lumpur Vertical City.
“SPRM turut meneliti satu kertas siasatan lama berkaitan hartanah Park City Grand Plaza yang masih belum ditutup dan kini melalui proses bantuan perundangan bersama,” katanya.
Setakat ini, seramai 12 individu telah dirakam keterangan iaitu tiga Ahli Lembaga Pengarah FIC, seorang setiausaha FIC, dua pegawai Bahagian Perundangan FIC, seorang jurunilai, tiga individu daripada firma guaman, seorang pegawai Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur serta seorang pegawai Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Kuala Lumpur.
Abd Halim berkata beberapa tangkapan dijangka dilakukan secara berperingkat bermula awal minggu depan manakala nilai rasuah yang dipercayai terlibat masih belum dikenal pasti kerana siasatan kes masih di peringkat awal.
Sementara itu, beliau berkata SPRM turut menerima maklumat pada 24 Ogos lepas daripada Pengerusi Pertubuhan Badan Bertindak Generasi Palong (Perbagi) mengenai kebimbangan terhadap kualiti anak benih sawit serta pelaksanaan program pembangunan dan penanaman semula sawit di FELDA Palong 7.
Abd Halim berkata maklumat itu berkaitan program pembangunan yang dilaporkan memberi manfaat kepada kira-kira 450 peneroka termasuk isu berkaitan pembekalan dan penghantaran.
“SPRM memberi jaminan bahawa siasatan terhadap pengurusan FELDA akan dijalankan secara menyeluruh, adil dan profesional berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.
-- BERNAMA