KOTA TINGGI, 2 Sept (Bernama) -- Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor, 16, antara remaja yang hilang di Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar di sini pagi tadi, dilihat terkapai-kapai sebelum beberapa rakannya cuba menyelamatkannya.
Saksi yang juga rakan mangsa berusia 16 tahun dan enggan dikenali berkata kejadian berlaku dengan pantas, ketika mereka mandi-manda di pesisir pantai sebelum Muhammad Thaqif bergerak ke kawasan yang agak jauh dan lebih dalam.
“Pagi tadi kami pergi berendam sekejap, kemudian Thaqif pergi mandi di kawasan yang agak jauh. Apabila kami panggil, dia seperti tidak dengar. Kami biarkan sahaja, tetapi apabila kami pandang semula, dia sudah terkapai-kapai.
“Kami terus minta tolong. Lebih kurang lima orang pergi membantu, tetapi semakin ramai pula yang turut hilang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Beliau berkata mangsa sebahagian daripada kumpulan 16 orang yang datang berkhemah di kawasan berkenaan sejak semalam dan aktiviti itu kali pertama mereka berkumpul dalam jumlah yang ramai.
Sementara itu, bapa Muhammad Thaqif, Rumainoor Salleh, 47, berkata dia reda dengan sebarang kemungkinan, namun masih berharap anak bongsunya ditemukan.
“Harapan memang tinggi untuk dia ditemukan selamat, tapi kita terimalah, reda dan ikhlas. Kalau memang dah tak ada, dapat jumpa jasad pun dah alhamdulillah,” katanya.
Rumainoor berkata dia menerima berita mengenai kejadian itu pada 8.10 pagi, selepas mendapati anaknya tiada di rumah dan panggilan telefon juga tidak dijawab.
Bagaimanapun, Rumainoor tidak mengetahui Muhammad Thaqif keluar bersama-sama rakan pada malam sebelumnya, kerana bekerja dan pulang lewat malam.
Nur Adriana Dania, 24, pula berkata hubungan dengan adiknya itu amat rapat, kerana sejak ibu mereka meninggal dunia pada 2021, dia yang menjaga Muhammad Thaqif.
Justeru, dia berharap operasi mencari dan menyelamat (SAR) dapat menemukan adiknya secepat mungkin.
Terdahulu, enam remaja dilaporkan hilang ketika mandi-manda di pantai berkenaan kira-kira 7.45 pagi, dengan dua daripada mereka berjaya diselamatkan orang awam.
Kemudian, seorang daripada empat mangsa ditemukan kira-kira 1.25 tengah hari, kira-kira 800 meter dari lokasi mereka dilaporkan hilang, manakala usaha mencari tiga lagi mangsa masih diteruskan melibatkan pelbagai agensi.
-- BERNAMA