KOTA KINABALU, 2 Sept (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor hari ini menerima kunjungan hormat Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia (KRI) di Tawau Dino Nurwahyudin di Menara Kinabalu di sini.
Pejabat Ketua Menteri dalam kenyataan media memaklumkan kunjungan Dino berkenaan adalah untuk memperkenalkan diri secara rasmi sebagai konsul di Tawau sejak 9 Julai lepas.
“Pertemuan itu juga membincangkan sasaran dan cadangan Dino sepanjang tempoh penugasannya di Sabah.
“Pertemuan itu turut memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai perkara berkepentingan bersama serta mengenal pasti ruang yang boleh diterokai bagi memperkukuh kerjasama antara Sabah dan Indonesia,” katanya.
Dalam pada itu, Dino berkata hubungan antara Indonesia dan Sabah begitu erat dan telah terjalin sekian lama.
“Kami juga berharap adanya lebih banyak penerbangan terus menghubungkan Indonesia dan Sabah bagi memudahkan integrasi rakyat kedua-dua wilayah,” katanya.
Dino mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan diplomatik, termasuk pernah berkhidmat sebagai Kaunselor di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur serta memegang pelbagai jawatan di Kementerian Luar Negeri Indonesia dan perwakilan diplomatik Indonesia di luar negara.
Dino juga pernah berkhidmat di KRI Tawau dalam bidang Penerangan, Sosial dan Kebudayaan pada 2024 hingga 2025, sebelum dilantik sebagai Ketua Perwakilan KRI Tawau.
-- BERNAMA