KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- AirAsia Group Bhd menjelaskan cadangan pengumpulan dana sehingga US$1 bilion (US$1=RM4.04) daripada pasaran hutang antarabangsa dan RM700 juta dalam kredit tempatan, bertujuan bagi penyusunan atau pembiayaan semula hutang selain penyatuan lembaran imbangan.
Sehubungan itu, kumpulan berkenaan menegaskan usaha terbabit bukan semata-mata bagi tujuan membiayai kekurangan operasi.
Dalam kenyataan hari ini, kumpulan memaklumkan strategi berkenaan juga seiring dengan pendedahan awam terdahulu mengenai usaha bagi pengoptimuman struktur modal.
“Sebagai paparan keupayaan pelaksanaan dan keyakinan pasaran, kumpulan berjaya mengumpulkan sejumlah US$300 juta pada Mac 2026 sewaktu kemuncak ketidaktentuan pasaran global dan harga bahan api bagi melanjutkan tempoh matang hutang secara proaktif selain mengurangkan obligasi prinsipal,” maklum kumpulan itu.
Menjelaskan selanjutnya, AirAsia memaklumkan objektif utama strategi berkenaan adalah untuk menyatukan pelbagai kemudahan sedia ada kepada struktur hutang seragam dan kos lebih rendah dengan tempoh matang lebih panjang serta terma yang lebih baik.
“Langkah ini membolehkan kumpulan membiayai semula obligasi hutang kos tinggi yang ditanggung ketika kemuncak pandemik COVID-19, sekali gus mengurangkan beban faedah tahunan secara ketara, mengoptimumkan kos unit bukan bahan api serta menyediakan mudah tunai bagi modal kerja strategik,” maklumnya.
AirAsia menyatakan kumpulan akan terus melaksanakan rangka kerja strategi pengurusan risiko pelbagai lapisan bagi melindungi margin operasi daripada ketidaktentuan makro tenaga.
Dalam suku kedua 2026, kumpulan berjaya memperoleh semula 70 peratus daripada kenaikan harga bahan api menerusi pelarasan tambang yang dinamik serta pengurangan perbelanjaan operasi bukan bahan api.
Usaha itu dilengkapkan lagi dengan langkah menggiatkan strategi lindung nilai bahan api secara menyeluruh di peringkat kumpulan.
“Keadaan ini terutamanya bagi AirAsia Thailand apabila kumpulan berjaya melindung nilai 13 peratus daripada penggunaan bahan api pada suku ketiga 2026 pada harga US$89 setong.”
Laporan media baru-baru ini mengetengahkan hasrat AirAsia untuk mendapatkan sekurang-kurangnya US$1 bilion menerusi pengumpulan dana di pasaran hutang antarabangsa ketika kumpulan mahu memperkukuh kedudukan mudah tunai di tengah-tengah kenaikan harga bahan api serta kerugian akibat perang Asia Barat.
AirAsia juga menjelaskan pelarasan kapasiti sebanyak 20 hingga 25 peratus pada suku ketiga 2026 adalah strategi operasi yang disengajakan dan seiring dengan corak perjalanan bermusim.
“Tempoh suku ketiga seperti sebelum ini adalah tempoh masa paling perlahan bagi perjalanan udara serantau dan kumpulan akan bertindak meningkatkan semula kapasiti secara dinamik ke arah tahap kemuncak dan sebelum krisis di Asia Barat pada suku keempat 2026 yang selaras dengan tempoh kemuncak perjalanan pada tahun ini,” maklum kumpulan itu.
Menurut AirAsia, pihaknya mengutamakan keuntungan laluan secara mutlak berbanding penggunaan pesawat semata-mata bagi memastikan setiap aset digunakan dapat menyumbangkan pulangan kewangan yang optimum.
Pada masa sama, AirAsia memaklumkan seiring dengan perubahan rangkaian, langkah pemulangan strategik sebanyak 25 pesawat lama kurang cekap bahan api dalam tempoh berkenaan juga dirundingkan berdasarkan terma komersial yang menguntungkan.
Kumpulan penerbangan yang mempunyai 161 pesawat beroperasi setakat akhir Jun, berhasrat mengembalikan 25 pesawat lama berkenaan kepada pemberi pajak dalam tahun kewangan semasa.
“Tindakan menyusun semula saiz kumpulan pesawat itu dapat mengatasi beban pajakan tetap serta mengurangkan kos unit bukan bahan api menjelang penghantaran pesawat baharu yang dijadualkan pada 2028 dan seterusnya,” maklumnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farouk Kamal berkata AirAsia memilih untuk bertindak mengurangkan lebihan kapasiti, memulangkan pesawat lama dan mengurangkan keseluruhan obligasi pajakan berbanding menggunakan tunai dalam jumlah besar ketika suku bermusim yang lebih perlahan.
-- BERNAMA