Am 02/09/2026 10:27 PM

Empat Lelaki Ditahan Disyaki Terlibat Kes Pecah Rumah Di Ipoh

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Empat Lelaki Ditahan Disyaki Terlibat Kes Pecah Rumah Di Ipoh
kredit: Polis Perak

IPOH, 2 Sept (Bernama) -- Polis menahan empat lelaki tempatan berusia 28 hingga 45 tahun disyaki terlibat dalam kes pecah rumah di Taman Pengkalan Indah di sini pada Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah berkata kesemua suspek ditahan pada 2.45 pagi tadi hasil risikan dan tindakan susulan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan di dua hotel berasingan di sekitar Ipoh.

“Semakan mendapati kesemua tahanan mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan. 

Muhammad Najib berkata polis turut merampas beg sandang, pisau bersarung, minuman keras serta sejumlah mata wang asing, antaranya mata wang Vietnam dan Hong Kong.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti penglibatan suspek dalam kes pecah rumah lain di sekitar daerah Ipoh,” katanya.

-- BERNAMA