ISTANBUL, 2 Sept (Bernama-Anadolu) -- Banjir kilat dan gelongsoran lumpur yang membawa kemusnahan di kawasan sempadan Himalaya antara Nepal dan China seharusnya menjadi "amaran penting" kepada negara-negara di rantau itu, menurut seorang pakar geografi kritikal kepada Anadolu Ajansi.
Amaran itu dibuat ketika angka korban akibat bencana pada 26 Ogos meningkat kepada 1,130 orang pada Rabu, manakala operasi mencari hampir 4,500 mangsa yang masih hilang diteruskan seminggu selepas bencana itu.
"Bencana seperti ini sememangnya akan sentiasa berlaku dalam persekitaran glasier yang dinamik dan aktif secara seismik di kawasan pergunungan tinggi Himalaya dan Karakoram," kata Profesor Geografi Kritikal di King's College London Daanish Mustafa kepada Anadolu.
Bencana itu berlaku Rabu lepas apabila glasier di Gunung Langtang Lirung, Nepal, pecah pada ketinggian kira-kira 5,200 meter (17,060 kaki), mencetuskan runtuhan ais dan batu yang kemudian bertukar menjadi aliran puing besar sebelum menghanyutkan kawasan lembah di sepanjang sempadan.
Gelombang air dan gelongsoran lumpur itu membawa kemusnahan di Rasuwa, Nuwakot, Dhading, Kavre dan Lembah Kathmandu di Nepal, selain menimbus lintasan sempadan Gyirong dengan Nepal di barat daya Tibet, yang turut dikenali sebagai Wilayah Autonomi Xizang, di sebelah China.
"Ini merupakan kejadian yang amat malang dan dukacitanya ia tidak dapat dicegah," kata Mustafa.
Daripada 3,916 individu yang masih hilang di sebelah Nepal, 639 merupakan petugas di beberapa projek hidro kuasa di negara itu.
"Empangan di kawasan pergunungan tinggi hanya akan memburukkan dan meningkatkan tahap kerosakan akibat kejadian seperti ini. Ia seharusnya menjadi amaran penting kepada semua negara, khususnya India, China dan Pakistan yang sedang dalam proses membina empangan besar dalam persekitaran berkenaan," kata Mustafa.
Kementerian Luar China pada Rabu memaklumkan bencana itu "berpunca daripada ketidakstabilan glasier akibat kesan jangka panjang pemanasan iklim."
"Runtuhan ais dan batu berlaku di sebuah glasier di Nepal, meluncur dengan pantas menuruni cerun dan menghakis lereng gunung sehingga mencetuskan bencana itu," kata jurucakap Kementerian Luar Guo Jiakun kepada pemberita di Beijing.
Mustafa berkata: "Buat masa ini, kita perlu berpegang kepada penjelasan rasmi China dan Nepal sehingga penilaian saintifik bebas diperoleh, yang mungkin mengambil sedikit masa."
"Tidak banyak yang boleh dilakukan untuk menghalang bencana seperti ini, kecuali melalui pendidikan awam, latihan pemindahan, infrastruktur komunikasi yang berkesan dan pemantauan," kata ahli akademik itu.
"Empangan berkenaan boleh menyebabkan malapetaka apabila kejadian seperti ini berlaku ... Dengan empangan beroperasi, kejadian seperti ini boleh menyebabkan jutaan kematian berbanding beberapa ratus yang berlaku di Nepal," kata Mustafa sambil menggesa masyarakat Asia Selatan supaya "mengambil perhatian" terhadap amaran itu.
-- BERNAMA-ANADOLU