KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Ketua Angkatan Muda Keadilan Muhammad Kamil Abdul Munim menyifatkan tindakan berbelanja melebihi peruntukan yang ditetapkan sebagai tidak wajar dan boleh menjejaskan kedudukan kewangan negara.
"Macam mana nak cukup kalau belanja lebih daripada peruntukan yang telah ditetapkan. Besar pasak daripada tiang. Jahanam negara macam ini," kata Setiausaha Politik Menteri Kewangan itu menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata sejak beberapa tahun lepas, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah membuat komitmen dan berbelanja melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan untuk projek jalan luar bandar.
Johan berkata pada 2023, perbelanjaan sebenar KKDW berjumlah RM1.8 bilion berbanding RM1.1 bilion peruntukan yang diluluskan manakala perbelanjaan sebenar pada 2024 ialah RM2 bilion berbanding RM1.3 bilion peruntukan yang diluluskan.
Beliau berkata pada 2025, perbelanjaan sebenar kementerian itu ialah RM2.3 bilion berbanding RM1.6 bilion peruntukan yang diluluskan dan bagi 2026 pula, peruntukan yang diluluskan berjumlah RM2.1 bilion manakala perbelanjaan sebenar setakat Jun lepas mencecah RM1.9 bilion.
Katanya bagi menangani isu itu, Kementerian Kewangan bekerjasama dengan KKDW termasuk mengatur semula peruntukan kementerian berkenaan berdasarkan keutamaan.
-- BERNAMA