KOTA BHARU, 2 Sept (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) hari ini menyalurkan Bantuan Am dan sumbangan khas kepada seorang pelajar asnaf di Kampung Tal Tujuh, Pasir Mas untuk melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Setiausaha MAIK Muhamad Rasani Ramli berkata pihaknya menyalurkan bantuan itu kepada Nurul Atiqah Husna Azli, 20, bagi memastikan masalah kewangan tidak menjadi penghalang kepadanya.
“MAIK hari ini menyampaikan Bantuan Am berjumlah RM1,200 serta sumbangan khas RM3,000 kepada pelajar ini bagi membantu menyediakan keperluan ke universiti dan menampung perbelanjaan sementara menunggu biasiswa pengajian di USM.
“Pihak kami turut berharap Nurul Atiqah akan menggunakan peluang melanjutkan pengajian dengan sebaik-baiknya dan belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai cita-citanya untuk bergelar guru Sejarah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, kisah Nurul Atiqah yang dibesarkan oleh datuk dan neneknya tular di media sosial selepas beliau berjaya meraih PNGK 4.0 menerusi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan menerima tawaran melanjutkan pengajian di USM, namun berdepan kekangan kewangan untuk meneruskan pengajian.
Muhamad Rasani berkata MAIK turut meluluskan Bantuan Bulanan sebanyak RM400 bagi kegunaan datuk dan nenek Nurul Atiqah yang turut berdepan kekangan kewangan.
Beliau berkata pasangan warga emas itu selama ini bergantung kepada pemberian wang belanja daripada anak lelaki mereka selain menerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Selain membantu Nurul Atiqah melanjutkan pengajian, MAIK turut mengambil kira keadaan datuk dan neneknya yang memerlukan bantuan untuk menampung perbelanjaan harian,” katanya.
Sementara itu, Nurul Atiqah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada MAIK serta para pembayar zakat atas bantuan yang diterima bagi membolehkannya meneruskan pengajian di USM.
Beliau turut mendoakan agar urusan para pembayar zakat dipermudah, dimurahkan rezeki dan terus diberi kekuatan untuk membantu golongan yang memerlukan.
-- BERNAMA