KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memperkukuh keupayaan penyelidikan dan inovasi dalam bidang pertahanan serta keselamatan menerusi pembangunan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi Sultan Ibrahim (PaKSI), selaras dengan Pelan Strategik UPNM30.
Penolong Naib Canselor Kanan (Pembangunan Strategi) UPNM Profesor Datuk Dr Norhasni Zainal Abiddin berkata PaKSI diwujudkan bagi menghimpunkan kepakaran penyelidikan universiti secara lebih berfokus dan menterjemahkannya kepada penyelesaian yang menyokong keperluan strategik negara.
Beliau berkata pusat itu juga diharap dapat memperkukuh peranan UPNM sebagai pusat rujukan dalam bidang pertahanan dan keselamatan selain menjadi platform kerjasama antara akademia, kerajaan serta industri.
“Penyelidikan dalam bidang pertahanan dan keselamatan perlu berupaya memberikan nilai kepada pembangunan ilmu serta menjawab keperluan sebenar negara.
“Hasil penyelidikan bukan sahaja memperkaya khazanah ilmu malah membuka ruang kepada pembangunan teknologi dan inovasi, pengukuhan kepakaran tempatan serta penyediaan input kepada kesiapsiagaan dan keupayaan pertahanan dan keselamatan negara,” menurutnya dalam kenyataan.
Pada 25 Jun lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang juga Canselor UPNM berkenan terhadap cadangan penamaan pusat itu sebagai Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi Sultan Ibrahim.
Norhasni berkata pembangunan PaKSI adalah antara manifestasi UPNM30 yang memandu hala tuju pembangunan universiti hingga 2030, dengan Pusat Kecemerlangan menjadi satu daripada lima teras strategiknya.
Idea pembangunan pusat berkenaan dicetuskan di bawah kepimpinan Naib Canselor UPNM Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad sebagai sebahagian usaha memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi universiti.
Ekosistem penyelidikan PaKSI distrukturkan menerusi dua kluster utama, iaitu Sains dan Teknologi serta Strategi Pertahanan dan Keselamatan.
Kluster Sains dan Teknologi merangkumi antaranya kenderaan pertahanan dan persenjataan; prestasi manusia dan ancaman kimia, biologi, radiologi, nuklear serta bahan letupan (CBRNe); siber, elektronik dan robotik; naval dan maritim; kecerdasan buatan serta pentropikalan.
Kluster Strategi Pertahanan dan Keselamatan pula memberi tumpuan kepada kajian peperangan khas, konflik serta keselamatan dalam negara dan antarabangsa.
Norhasni berkata PaKSI turut menekankan penyelidikan berasaskan bukti bagi menyokong dasar dan strategi keselamatan negara serta menyediakan analisis strategik dan saranan dasar kepada Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia dan agensi keselamatan.
“PaKSI masih berada pada awal perjalanannya... justeru, kecemerlangannya tidak hanya terletak pada nama atau penubuhannya tetapi perlu diterjemahkan melalui pencapaian yang nyata,” katanya.
Beliau berkata UPNM mahu PaKSI dikenali menerusi penyelidikan relevan, inovasi yang menawarkan penyelesaian, kepakaran yang diyakini serta sumbangan bernilai kepada pertahanan dan keselamatan negara.
-- BERNAMA