Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Ringgit diniagakan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu namun mengukuh berbanding pound Britain dan euro di tengah-tengah peningkatan hasil bon global serta kebimbangan terhadap paras hutang kerajaan yang tinggi di negara maju.
Pada 6 petang ini, ringgit di paras 4.0435/0475 berbanding dolar AS daripada paras penutup pada 4.0370/0410, semalam.
Pasaran ditutup pada Isnin bersempena cuti umum Hari Kebangsaan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata hasil bon pada masa ini kekal menjadi tumpuan, terutama di pasaran maju.
“Konteks hasil bon yang lebih tinggi bagi jangka masa lebih panjang, turut melibatkan peningkatan premium risiko inflasi susulan kenaikan harga minyak mentah manakala bank-bank pusat global dilihat sebagai ketinggalan dalam mengetatkan dasar monetari,” katanya kepada Bernama.
Berikutan itu, Mohd Afzanizam menjelaskan kebimbangan itu juga menumpukan aspek kekurangan disiplin fiskal untuk mengekang defisit fiskal dan paras hutang kerajaan yang tinggi.
“Mengikut data Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), hutang kasar kerajaan dari segi peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026 untuk AS, United Kingdom dan Jepun dijangka mencecah masing-masing pada 125.8 peratus, 103.6 peratus dan 204.4 peratus.
“Ini menunjukkan seolah-olah pasaran tiada hala tuju jelas apabila menunjukkan sentimen mengelak risiko pada masa ini ketika pedagang dan pelabur keliru dalam menentukan kelas aset yang tepat untuk dijadikan sebagai perlindungan.
“Berikutan itu, pergerakan ringgit adalah dalam julat kecil antara RM4.0405 hingga RM4.0448 berbanding dolar AS,” katanya.
Berbanding kumpulan mata wang utama, ringgit mengukuh berbanding euro kepada 4.6787/6834 daripada 4.6801/6847 semalam dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4527/4581 daripada 5.4657/4711.
Ringgit bagaimanapun susut berbanding yen Jepun kepada 2.5294/5321 daripada 2.5223/5250.
Selain itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama serantau.
Unit tempatan itu naik berbanding peso Filipina kepada 6.46/6.47 daripada 6.47/6.48, namun rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1739/1773 daripada 3.1703/1736 dan merosot berbanding baht Thailand kepada 12.1321/1488 daripada 12.1315/1483.
Ringgit bagaimanapun mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.46/6.47 daripada 6.47/6.48, susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1739/1773 daripada 3.1703/1736 semalam dan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.1321/1488 daripada 12.1315/1483.
Pada masa sama, ringgit juga diniagakan rendah berbanding rupiah Indonesia pada 227.6/227.9 daripada 227.5/227.8, semalam.
-- BERNAMA