KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Langkah kerajaan mengembalikan kuota BUDI MADANI RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan membuktikan keberkesanan penjimatan fiskal serta ketegasan tata kelola yang diamalkan Kerajaan MADANI dalam membendung kebocoran dana negara.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata keupayaan menaikkan semula had kelayakan itu didorong oleh hasil penguatkuasaan ketat yang berjaya menyekat aktiviti penyeludupan bahan api bersubsidi berkenaan.
Beliau berkata pelarasan kuota bahan api itu yang berkuat kuasa semalam bukan sahaja mengotakan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, malah dilaksanakan tanpa menjejaskan kerangka konsolidasi fiskal jangka panjang negara.
“Langkah penyasaran semula ini membolehkan kerajaan menyelamatkan lebih RM15.5 bilion dana negara hasil penguatkuasaan pelbagai agensi. Penjimatan ini dipulangkan semula secara terus kepada rakyat menerusi bantuan tunai dan kemudahan program BUDI MADANI.
“Meskipun ada desakan dan syor daripada institusi kewangan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk menaikkan harga minyak, pendekatan kita berbeza kerana keutamaan kerajaan adalah memastikan kebajikan 16 juta pengguna RON95 dan pemilik kenderaan diesel tidak terbeban dengan kos sara hidup,” katanya ketika menjadi tetamu program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV di sini hari ini.
Pada 30 Ogos lepas, Anwar berkata kerajaan bersetuju mengembalikan kelayakan asas Program BUDI95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan manakala pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak akan menerima BUDI Diesel sehingga 400 liter sebulan.
Pada 26 Mac lepas, kerajaan mengumumkan pelaksanaan pelarasan kelayakan BUDI95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026 susulan konflik di Asia Barat, dengan harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter.
Muhammad Kamil berkata pelarasan semula kuota secara automatik itu dijangka memberi kelegaan kewangan yang signifikan kepada rakyat, terutamanya bagi menampung pergerakan harian serta aktiviti ekonomi domestik.
Beliau berkata hasil penjimatan penyasaran subsidi itu turut membolehkan peruntukan bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melonjak kepada RM15 bilion tahun ini, berbanding RM6 bilion pada 2018.
“Ini membuktikan apabila kita menyekat ketirisan daripada dinikmati golongan kaya dan warga asing, pulangan kewangan itu dapat disalurkan secara optimum kepada sektor kritikal seperti kesihatan, pendidikan dan pembangunan komuniti,” katanya.
-- BERNAMA