Dunia 02/09/2026 07:17 PM

ISPU Kalimantan Barat Kembali Melonjak Lebih 1,000 - Agensi Indonesia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
ISPU Kalimantan Barat Kembali Melonjak Lebih 1,000 - Agensi Indonesia
(AP Photo/Muhammad Hatta)

Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil

JAKARTA, 2 Sept (Bernama) -- Indeks Standard Pencemar Udara (ISPU) di Kalimantan Barat, Indonesia, melonjak semula melebihi paras 1,000 pada Rabu, mencecah 1,016 di Pontianak Tenggara, berikutan ramalan bahan pencemar daripada kebakaran hutan dan tanah akan terus merebak ke arah Malaysia, Singapura dan Brunei.

Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Berton Panjaitan berkata kepekatan bahan pencemar kekal sangat tinggi di seluruh Kalimantan Barat, Tengah dan Selatan, dengan penyebaran dijangka menjadi lebih meluas.

Bercakap dalam sidang media dalam talian pada Rabu, Berton berkata Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) meramalkan bahawa penyebaran bahan pencemar di Kalimantan pada 3 Sept akan menjadi lebih meluas berbanding keadaan semasa.

Data yang dibentangkan pada sidang media itu menunjukkan bacaan ISPU di Pontianak Tenggara pada 3.47 petang Rabu telah meningkat lebih dua kali ganda berbanding 468 pada Selasa, manakala Katingan, Kotawaringin Timur dan Gunung Mas di Kalimantan Tengah turut mencatatkan bacaan melebihi 500, masing-masing pada tahap 577, 559 dan 523.

BMKG, dalam ramalannya bagi Rabu dan Khamis, menunjukkan peningkatan kepekatan bahan pencemar akibat kebakaran di Sumatera dan Kalimantan, dengan angin membawa bahan tersebut ke arah utara dan barat laut merentasi Selat Melaka dan Laut Natuna menuju ke negara-negara jiran.

Sementara itu, data daripada enam wilayah yang diberi keutamaan bagi kawalan kebakaran hutan dan tanah, iaitu Kalimantan Barat, Tengah dan Selatan serta Riau, Jambi dan Sumatera Selatan, menunjukkan 157 titik panas pada Rabu, meningkat berbanding 136 pada Selasa.

Di ketiga-tiga wilayah keutamaan di Kalimantan, jumlah titik panas meningkat kepada 110 daripada 106; Kalimantan Selatan mencatatkan peningkatan kepada 29 daripada 13 dan Kalimantan Barat meningkat sedikit kepada 31 daripada 30, manakala Kalimantan Tengah mencatatkan penurunan kepada 50 daripada 63.

Di ketiga-tiga wilayah keutamaan di Sumatera, titik panas meningkat kepada 47 daripada 30, didorong oleh peningkatan di Riau kepada 19 daripada empat dan Sumatera Selatan kepada 21 daripada 13, sementara Jambi mencatatkan penurunan kepada tujuh daripada 13.

Sementara itu, dalam usaha memadamkan kebakaran, Berton berkata operasi pengubahsuaian cuaca pada Selasa menghasilkan hujan ringan hingga sederhana di beberapa bahagian Riau serta hujan ringan di Jambi dan Sumatera Selatan, namun operasi serupa di Kalimantan Barat dan Tengah gagal menghasilkan hujan disebabkan oleh pembentukan awan yang terhad.

Beliau berkata tiada operasi modifikasi cuaca dijalankan di Kalimantan Selatan kerana ketiadaan awan yang sesuai, sementara akses yang sukar, sumber air jauh, kawasan terjejas yang luas, angin kencang serta asap terus menghambat usaha pemadaman kebakaran di sana.

Beliau turut memaklumkan bahawa BNPB sedang menyelaras dengan Pihak Berkuasa Ibu Negara Nusantara dan BMKG mengenai potensi kebakaran hutan dan tanah di sekitar ibu negara baharu itu di Kalimantan Timur.

-- BERNAMA