KUANTAN, 2 Sept (Bernama) -- Yayasan Pahang Commercial Centre (YPCC) dijangka menjadi antara sumber pendapatan berterusan Yayasan Pahang dengan hasil sewaan kira-kira RM4.8 juta setahun, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata jumlah berkenaan adalah hasil yang boleh dilihat daripada pembangunan pusat berkenaan, selain terdapat manfaat tidak langsung seperti penjimatan masa dan tenaga kepada pengguna.
“Sudah tentu ada hasil tetapi jumlah keseluruhan itu kami belum tahu. Untuk hasil yang boleh dilihat, daripada sewaan sahaja kami memperoleh kira-kira RM4.8 juta setahun,” katanya selepas merasmikan YPCC Tanjung Lumpur di sini hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan pertukaran lapan memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Pahang dan syarikat berkaitan.
Wan Rosdy berkata pusat komersial seluas 24.8 ekar itu menghimpunkan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang turut memudahkan pengguna mendapatkan keperluan mereka tanpa perlu ke beberapa lokasi berbeza.
“Ia menggabungkan tiga komponen utama, iaitu Zon Komersial, Zon Automotif dan RIMBUN (pelbagai segmen perniagaan) yang merangkumi peruncitan, automotif, makanan dan minuman, perkhidmatan serta gaya hidup,” katanya.
Wan Rosdy ketika mengulas mengenai potensi kemasukan lebih banyak syarikat berkata setiap permohonan akan dinilai berdasarkan kajian dan kriteria yang ditetapkan bagi memastikan pembangunan YPCC dilaksanakan secara terancang.
-- BERNAMA