Am 02/09/2026 06:06 PM

Polis Tahan Suspek Kedua Kes Curi Kabel Di Sri Petaling

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Polis Tahan Suspek Kedua Kes Curi Kabel Di Sri Petaling

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Polis menahan seorang lagi lelaki bagi membantu siasatan berkaitan kes kecurian kabel di Sri Petaling di sini pada Isnin lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata suspek berumur 32 tahun berkenaan merupakan pemandu kenderaan jenis Ford Ranger yang dikejar polis dari Tol Awan Besar menghala ke Klang (Barat) sebelum berakhir di Jalan Hang Tuah 4, selepas disyaki terlibat kes curi kabel berkenaan.

"Permohonan reman terhadap suspek diluluskan selama tujuh hari hingga 8 Sept ini untuk siasatan lanjut. Suspek mempunyai 20 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan enam rekod berkaitan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Isnin lepas, sepasukan anggota polis melepaskan beberapa das tembakan sebelum menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri kabel selepas kenderaan jenis Ford Ranger dipandu rakannya cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di sekitar Sri Petaling.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, kenderaan yang dinaiki cuba melanggar anggota polis sebelum hilang kawalan dan melanggar sebuah kereta Mazda berwarna kelabu di Jalan Hang Tuah 4 manakala pemandu kenderaan itu bertindak melarikan diri.

Pemeriksaan pada kenderaan berkenaan menemukan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk melalukan kegiatan mencuri kabel serta beberapa kabel yang disyaki telah dicuri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307, Seksyen 427 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA