JASIN, 2 Sept (Bernama) -- Seorang pemandu ambulans mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jasin hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal minggu lepas.
Mohd Noorikhmal Baharuddin, 41, didakwa melakukan kesalahan itu ketika memandu ambulans jenis Toyota Hiace di lampu isyarat simpang tiga Kampung Ayer Merbau, di sini kira-kira 9.15 pagi, 26 Ogos.
Lelaki itu didakwa memandu dengan melulu hingga menyebabkan kematian Muhammad Amirul Asyraaf Md Azizan, 18, mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan.
Kesalahan itu memperuntukan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000 serta hilang kelayakan memiliki lesen memandu selama tempoh tidak lebih dari lima tahun.
Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Hafiz Othman mencadangkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu lesen tertuduh digantung, sementara sepanjang kes berlangsung.
Peguam Datin Kharen Jit Kaur yang mewakili lelaki itu bagaimanapun memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan rendah, atas alasan penjamin adalah pegawai atasan tertuduh sendiri dan dia telah memberikan kerjasama sejak awal siasatan kes dilakukan.
Majistret Mazana Sinin kemudian menetapkan Mohd Noorikhmal dijamin RM3,000 dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwa.
Mahkamah juga menetapkan 17 Sept ini sebagai tarikh sebutan semula bagi penyerahan dokumen berkaitan kes.
-- BERNAMA