PUTRAJAYA, 2 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki berusia 30-an yang dipercayai terlibat dalam insiden provokasi pada sambutan Hari Kebangsaan ke-69 pada Isnin, direman satu hari bermula hari ini.
Perintah reman itu dikeluarkan Masjistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat polis di Mahkamah Majistret, di sini hari ini
Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed ketika dihubungi mengesahkan reman tersebut.
“Individu tersebut hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Putrajaya pada jam 12.15 tengah malam tadi,” katanya sambil menambah sebanyak tujuh saksi telah diambil keterangan.
Aidi Sham berkata lelaki tersebut turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, setelah ujian air kencing didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).
Sebelum ini, tular di media sosial tindakan seorang lelaki yang mencetuskan provokasi apabila cuba melompat pagar untuk masuk ke tempat duduk, ketika sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
-- BERNAMA