KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Perenang negara, Khiew Hoe Yean enggan dibebani sasaran pingat pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada persiapan bagi memastikan mampu melangkah ke final dalam acara yang disertai.
Atlet berusia 24 tahun yang akan beraksi dalam acara 200 meter (m) serta 400m gaya bebas itu mengakui persaingan renang di peringkat Asia kini semakin sengit, menyebabkan kedudukan catatan masanya berbanding tiga tahun lalu turut berubah.
Hoe Yean berkata sebelum ini berdasarkan catatan masa terbaiknya tahun ini mampu meletakkan beliau dalam kelompok dua terbaik tetapi kini hanya berada di kedudukan keenam atau ketujuh.
“Kalau tanya tiga tahun lepas, catatan masa saya mungkin berada di kedudukan dua terbaik. Tetapi tahun ini, berdasarkan masa terbaik peribadi saya, saya sebenarnya berada di kedudukan keenam atau ketujuh.
"Jadi, kalau ada peluang dan saya dapat lakukan yang terbaik, baguslah. Lebih baik saya tidak terlalu memikirkannya dan hanya fokus kepada perkara yang boleh saya kawal,” katanya ketika ditemui semasa menjalani latihan baru-baru ini.
Hoe Yean berkata persaingan di Asia ketika ini amat sengit dengan kehadiran perenang handalan dari China, Korea Selatan dan tuan rumah Jepun.
Beliau berkata beberapa pencabar utama memiliki rekod dan pencapaian yang mampu meletakkan mereka dalam kelompok terbaik dunia, sekali gus menjadikan cabaran untuk memburu pingat lebih sukar.
“Seorang daripada perenang China merupakan pemegang rekod dunia remaja dan hampir berada dalam kelompok enam terbaik dalam sejarah. Ada juga perenang Korea Selatan yang merupakan bekas juara dunia manakala beberapa perenang Jepun baru mencatat masa 3 minit 45 saat dalam acara 400m gaya bebas dan memecahkan rekod kebangsaan Jepun bagi 1,500m di (kejohnanan) Pan Pacific.
“Jadi, saya tidak akan katakan tiada persaingan atau tidak wujud jurang yang besar. Jika saya berjaya melayakkan diri ke final, saya rasa kita semua mempunyai peluang untuk berenang dengan pantas,” katanya.
Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bakal menjadi penampilan kedua Hoe Yean di temasya berkenaan selepas membuat penampilan sulung pada edisi terdahulu di Hangzhou, dengan pencapaian terbaiknya menamatkan saingan 400m gaya bebas di kedudukan keempat.
Justeru, atlet berkenaan mahu memanfaatkan pengalaman lepas dengan mengaplikasikan strategi yang dipelajarinya daripada pertandingan terdahulu termasuk Sukan Komanwel.
“Ini bukan lagi penampilan sulung saya. Ini Sukan Asia kedua saya. Harapnya saya mendapat lebih banyak pengalaman daripada semua pertandingan dan cuba mengaplikasikan apa yang telah saya pelajari sebelum ini.
“Saya mahu melihat sama ada strategi itu berkesan untuk membantu saya mara ke final dan berharap dapat berlumba dengan ramai perenang hebat di sana,” katanya.
Hoe Yean berkata beliau turut berkemungkinan menyertai acara 100m kuak lentang, 800m gaya bebas serta tiga acara berganti-ganti di temasya itu.
-- BERNAMA