Am 02/09/2026 04:46 PM

Fesyen Jadi Tarikan Baharu FBM 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Fesyen Jadi Tarikan Baharu FBM 2026

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) --  Festival Budaya Malaysia (FBM) 2026 tampil dengan kelainan apabila fesyen diketengahkan buat julung kalinya menerusi International Cultural Fashion Week bagi mendekatkan seni warisan dengan generasi muda.

Festival yang berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa di sini dari 11 hingga 16 Sept ini bakal menghimpunkan pereka tempatan dan beberapa negara Asia Tenggara, antaranya Filipina, Vietnam, Indonesia dan Thailand.

Pengasas yang juga penganjur Precious of Malaysia Farel Mikhail berkata pertunjukan fesyen itu akan diadakan setiap hari sepanjang festival dengan mengetengahkan tema kebudayaan negara peserta, manakala pereka Malaysia akan menampilkan elemen seperti batik, songket, tenun dan kebaya.

“Matlamat kami adalah untuk membawa warisan dan budaya lebih dekat kepada masyarakat, khususnya generasi muda serta mereka yang kurang meminati budaya tradisional supaya ia tidak dilihat sebagai sesuatu yang kuno,” katanya ketika menjadi tetamu program Jendela Fikir terbitan Bernama Radio hari ini.

Menurut Farel, penyertaan golongan muda penting bagi menyuntik nafas baharu kepada seni warisan menerusi pendekatan kontemporari, sekali gus memastikan khazanah berkenaan terus relevan mengikut peredaran zaman.

“Tradisi tetap dikekalkan, tetapi kita perlu bersikap terbuka untuk memberi ruang kepada generasi muda menyuntik nafas baharu kepada busana, tarian, persembahan dan kraf tangan.

“Apabila mereka terlibat secara langsung, warisan akan menjadi lebih dekat dengan mereka dan tidak lagi dianggap sebagai sesuatu yang ketinggalan zaman,” katanya.

Selain International Cultural Fashion Week, FBM 2026 turut menampilkan Precious Culture Walk pada 16 Sept bersempena dengan sambutan Hari Malaysia, dengan lebih 700 individu berbusana tradisional disasarkan menyertai acara mengelilingi tasik bermula 5 petang dalam usaha mencatat nama dalam Malaysia Book of Records.

Farel berkata pavilion kebudayaan turut disediakan di sekitar tasik bagi mengetengahkan keunikan tradisi masyarakat berbilang kaum, selain aktiviti lain termasuk sukan air, belon udara panas, persembahan konsert dan festival makanan yang menyajikan hidangan tradisional.

Bagi memudahkan pergerakan pengunjung, katanya, penganjur akan menyediakan bas ulang-alik dari kawasan Istana Budaya dan Balai Seni Negara berikutan ruang meletak kenderaan yang terhad.

-- BERNAMA